Berita

Tapak loji janakuasa jadi pembalakan haram, mana peranan menteri negeri dan pusat?

TAWAU, 5 NOV: Kerajaan Pusat dan Sabah perlu menjalankan tanggungjawab mereka bagi menjelaskan isu pembalakan haram di tapak projek kilang janakuasa geoterma Tawau Green Energy (TGE) di Tawau.

Pengerusi Himpunan Hijau Wong Tack berkata, beliau pernah cuba masuk ke tapak pembalakan itu April lalu, namun dihalang atas arahan Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah Datuk Sam Mannan.

“Kami langsung tidak tahu apa-apa tentang apa yang sebenarnya berlaku di kawasan itu, melainkan kayu balak keluar masuk dari tapak projek,” kata Wong Tack dalam satu sidang media di sini semalam.

Kata Wong Tack, sudah tiba masanya menteri Persekutuan campur tangan dalam isu ini dan menjelaskan bila tarikh sebenar projek janakuasa geoterma akan bermula.

“Menteri Teknologi Hijau, Tenaga dan Air (KeTTHA) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Menteri Pelancongan, Budaya dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun mesti menjalankan tanggungjawab yang digalas mereka dan jelaskan isu pembalakan di sini.

“Begitu juga dengan Masidi. (Kawasan diwartakan) Taman Sabah adalah di bawah bidang kuasanya. Beliau tidak boleh menyembunyikan diri di belakang tabir sahaja,” katanya lagi.

Sementara itu Naib Pengerusi DAP Sabah Chan Foong Hin yang sebelum ini sering membangkitkan isu tersebut menjelaskan, tapak projek janakuasa TGE kini menjadi tempat pembalakan haram.

Beliau mengkritik tindakan Menteri Ongkili menghadiri majli menandatangani memorandum persefahaman antara Green Power Solution Sdn Bhd (GPS) dan Current to Current (C2C) International.

Menurut Foong Hin berkata, GPS sebelum ini dikenalpasti terlibat dalam pembalakan haram di tapak loji janakuasa TGE di Tawau.

Beliau yang juga Adun Seri Tanjong sebelum ini pernah mendesak agar satu lawatan bersama diadakan bersama pihak berkuasa dan NGO, namun sehingga hari ini masih tidak mendapat maklum balas sewajarnya.

Kata Chan, beliau juga tellah menghantar dua soalan berhubung isu itu pada sidang Dewan Undangan Negeri akan datang.

“Saya meminta penjelasan tentang status projek itu, keluasan kawasan yang dibersihkan serta jumlah balak yang ditumbangkan.

“Pihak berkuasa sentiasa memberikan jawapan berbeza sebelum ini,” katanya lagi.

Katanya lagi, DAP juga sedang mengkaji aspek perundangan berhubung perkara itu, sebagai persediaan jika kerajaan negeri terus berdolak dalih daripada memberi jawapan. – Roketkini.com