Rencana

Tiada kendala bagi Muslimah demokrat berpolitik

Kebelakangan ini, penglibatan anak muda wanita dalam arena politik mula mendapat perhatian. Pelbagai reaksi dapat dilihat, lebih-lebih lagi apabila mereka menyertai sebuah parti yang dianggap tabu dan kononnya sangat berbeza dengan masyarakat majoriti Islam di Malaysia.

Penglibatan mereka sebenarnya memberi tamparan hebat kepada pihak tertentu hingga ada yang tergamak melabel mereka dengan gelaran mengaibkan seperti pelacur, wanita murahan dan model politik onani.

Persoalannya, adakah masyarakat Islam sudah lupa pada prinsip keislaman, khususnya prinsip keadilan (al-adalah), kesetaraan (al-musawah), kebebasan (al-hurriyah) dan kemuliaan (al-karamah)?

Pada zaman serba moden ini, wanita tidak sepatutnya dipandang remeh. Mereka juga antara penyumbang ekonomi di Malaysia. Setiap manusia ada tanggungjawab sama dan saling bertanggungjawab dalam memikul amanah.

Surah at-Taubah, ayat 74 menyebut:

“Dan orang-orang beriman lelaki dan perempuan saling bantu-membantu (atau penjaga) antara satu sama lain, mereka disuruh berbuat kebaikan, dan mencegah dari yang mungkar, mendirikan sembahyang. Sesungguhnya Allah maha perkasa lagi maha bijaksana.”

Al-Quran banyak menceritakan persamaan antara wanita dan perempuan. Yang membezakan mereka hanyalah jantina, ras, warna kulit dan ketaqwaannya kepada Allah.

Kedatangan Islam sendiri dilihat sebagai melepaskan perempuan daripada perbuatan tidak berperikemanusiaan. Islam memandang wanita sebagai makhluk mulia dan terhormat, memiliki hak.

Tanggapan bahawa wanita manusia lemah antara penyebab bermulanya penganiayaan terhadap wanita.

Islam tidak pernah melarang wanita bekerja dan berpolitik selagi tidak bertentangan dengan syariat dan menjaga adab.

Sheikh Yusuf Qaradhawi menjelaskan, tafsiran bagi Surah an-Nisa ayat 38 bahawa lelaki ialah pemimpin bagi wanita hanyalah dalam hal rumah tangga dan keluarga.

Qaradhawi juga berkata, antara sebab wanita dibenarkan berpolitik ialah tanggungjawab yang dipikulnya sama dengan lelaki dalam hal mu’amalah, dalam memikul tanggungjawab beribadah, menegakkan Islam, menjalankan kewajipan dan melakukan amar ma’ruf, nahi munkar.

Wanita mempunyai hak sama dalam memilih dan dipilih, tidak ada dalil kuat menyatakan bahawa wanita tidak dibenarkan berpolitik.

Beliau juga menegaskan, kepimpinan pada zaman sekarang sangat berbeza dengan zaman khalifah mahupun dinasti ratu pada zaman dahulu.

Kedudukan lelaki dan wanita adalah sama dalam berpolitik – sama-sama berhak untuk memilih dan dipilih. Wanita diberi tanggungjawab sama dalam beribadah kepada Allah, menegakkan agama dan berdakwah.

Sebagai umat Islam, kita harus memahami dan menghayati prinsip Islam mengenai perempuan. Islam menjelaskan bahawa lelaki dan wanita mempunyai kedudukan sama.

Masyarakat harus mengubah tanggapan bahawa perempuan makhluk yang lemah; lelaki makhluk paling kuat dan berkuasa.

Sebagai khalifah, kita haruslah saling bantu-membantu dan saling menjaga hak dan perbezaan yang Allah ciptakan. – Roketkini.com