Berita

Agensi kerajaan jangan kaut untung dari projek rumah mampu milik

GEORGE TOWN, 6 NOV: Perdana Menteri digesa memastikan agensi kerajaan seperti Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan JKP Sdn Bhd menjadi pelopor pembinaan rumah mampu milik untuk rakyat, bukan mengaut keuntungan daripadanya.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengkritik tindakan dua agensi itu yang menyertai 15 projek perumahan mampu milik di negeri ini apabila menetapkan anggaran keuntungan mencecah RM150 juta.

“Sangat malang apabila agensi kerajaan pusat ingin mengaut untung besar, apabila JKP Sdn Bhd dijangka untung RM17 juta bagi lapan projek perumahan, manakala Perda pula RM117 juta bagi tujuh projek di seluruh Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Angka tersebut diperolehi Guan Eng menerusi surat daripada Pengerusi Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman kepada beliau.

Menurut surat itu, Perda terlibat dalam projek melibatkan keluasan tanah 514.18 ekar dengan 1,656 buah rumah kos rendah dan 4,246 buah rumah kos sederhana, manakala JKP Sdn Bhd dengan 91.6 ekar membima 791 rumah kos rendah dan 2,300 rumah kos sederhana.

Pada masa sama, Datuk Seri Najib Razak ketika merasmikan Wisma REHDA (Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Malaysia) semalam menggesa setiap negeri memastikan rumah kos rendah mampu dimiliki golongan memerlukan, bukannya sebagai peluang meraih keuntungan.

“Kerajaan negeri setuju dengan Najib bahawa cubaan mengaut keuntungan daripada projek seumpama itu adalah salah dan tidak bertanggungjawab.

“(Tetapi) bagaimana agensi kerajaan seperti Perda boleh membantu orang miskin mahu pun bumiputera apabila membina rumah mewah pada harga RM1.85 juta di Teluk Kumbar?” kata Setiausaha Agung DAP itu lagi.

Sebaliknya kata Guan Eng, kerajaan negeri membelanjakan RM500-800 juta bagi membina rumah mampu milik.

“Kami mematuhi garis panduan kerajaan untuk menjual rumah awam di bawah RM72,000, sementara rumah mampu milik antara RM72,000 hingga RM400,000 di kawasan pulau, dan RM72,000 hingga RM250,000 di Seberang Perai.

“Tiada yang melebihi RM400,000, apatah lagi mencecah jutaan ringgit,” katanya.

Justeru itu katanya, Najib perlu menasihatkan kedua-dua JKP dan Perda agar menumpukan projek perumahan mampu milik dan mengikut garis panduan ditetapkan.

“Kegagalan berbuat demikian hanya menunjukkan Najib tidak jujur, dan kerajaan hipokrit apabila sanggup mengaut keuntungan melalui projek perumahan awam dan mampu milik,” katanya lagi. – Roketkini.com