Berita

Pakatan bincang survival politik, tak hadir mesyuarat bukan isu ‘remeh’

KUALA LUMPUR, 6 NOV: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng bukan sekadar membangkitkan kegagalan Presiden PAS hadir ke mesyuarat Pakatan Rakyat, tetapi lebih serius ialah ketidakpatuhan terhadap keputusan yang dicapai dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke berkata, Pakatan Rakyat tidak dapat melangkah ke hadapan sekiranya isu ketidakhadiran mesyuarat dan ketidakpatuhan terhadap keputusan mesyuarat dianggap sebagai isu ‘remeh’.

“Saya merujuk kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yang menyifatkan isu ketidakhadiran Presiden PAS dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat sebagai ‘remeh’ dan tidak perlu diberikan perhatian.

“Pimpinan pusat DAP amat kecewa dengan sikap dan pandangan tersebut kerana isu tersebut bukannya isu ‘remeh’ tetapi melibatkan soal kesinambungan dan survival politik Pakatan Rakyat,” kata Loke dalam satu kenyataan.

Semalam Mustafa dalam satu kenyataan berkata, tindakan Guan Eng membangkitkan soal ketidakhadiran Presiden Pas Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ke Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, merupakan perkara remeh yang tidak perlu diperbesar.

Malah Mustafa berkata, secara perbandingan semenjak 2008, Guan Eng dikatakan lebih banyak tidak hadir ke mesyuarat Pakatan Rakyat berbanding Tuan Guru Abdul Hadi dan bukan isu besar.

Mustafa menambah, setakat ini tidak pernah berlaku sesuatu keputusan tidak dapat dibuat sekalipun Hadi dan Lim tidak hadir ke mesyuarat kerana setiap parti akan menghantar wakil masing-masing.

Justeru itu Loke menjelaskan, sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang yang menggalas tanggungjawab pentadbiran yang berat, sudah tentu Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng tidak dapat hadir setiap kali mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat diadakan.

“Ketidakhadiran beliau dalam mesyuarat tidak pernah menimbulkan masalah, kerana beliau tidak pernah mempertikaikan sebarang keputusan yang diputuskan oleh Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

“Bagaimana Pakatan Rakyat dapat berfungsi dengan efektif dan melangkah ke hadapan sekiranya keputusan yang telah dicapai bersama dalam mesyuarat, boleh dinafikan oleh Presiden salah satu parti kompenen secara ‘unilateral’ yang tidak hadir dalam mesyuarat,” ujar Loke.

Tambah Loke, wakil DAP dalam Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat diberikan mandat penuh dan kepercayaan oleh Jawatankuasa Ekskutif Pusat (CEC) DAP untuk membuat keputusan bagi pihak DAP.

“Persoalan utama ialah adakah wakil Pas dalam Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat diberikan mandat untuk membuat keputusan bagi pihak Pas tanpa kehadiran Presidennya?

“Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat tidak akan dapat berfungsi sekiranya tidak ada komitmen penuh daripada setiap parti dalam Pakatan Rakyat untuk mematuhi dan berpegang kepada prinsip, dasar bersama dan keputusan yang telah dibuat,” tegas Loke. – Roketkini.com