Berita

Pulau Pinang akan mula prosiding cabar pengharaman PPS oleh Zahid

GEORGE TOWN, 6 NOV: Kerajaan Pulau Pinang hari ini bertegas untuk tetap melakukan prosiding undang-undang terhadap Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, ia perlu dibuat berikutan kenyataan berniat jahat (mala fide) Zahid yang mengisytiharkan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) sebagai pertubuhan haram.

“Kerajaan Negeri telah menghubungi pakar dalam pentadbiran undang-undang iaitu Tommy Thomas, Datuk Malek Imtiaz, Datuk Ambiga Sreenevasan dan Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo untuk memulakan prosiding.

“Kami juga akan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk semakan kehakiman bagi mendapatkan deklarasi membatalkan pengumuman Zahid termasuk kenyataannya yang mahu merampas aset dan membeku akaun, sekaligus menuntut ganti rugi darinya.

“Walaupun PPS tidak mempunyai aset atau harta, pengumuman termasuk tuduhan tidak berasas bahawa ahlinya mengancam keselamatan dan ketenteraman awam telah menjejaskan reputasi mereka,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Mohd Khalid Shariff 4 November lalu mengarahkan Jabatan Insolvensi membekukan kesemua akaun dan aset milik PPS.

Keputusan itu dibuat selepas menterinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengisytiharkan PPS sebagai pertubuhan haram mengikut Seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966.

Dalam pada itu Guan Eng berkata, meskipun Zahid mempunyai budi bicara di bawah Akta Pertubuhan, keputusan dan tindakannya boleh dikaji semula oleh mahkamah.

Sebagai contoh pada 24 Julai 2012, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Rohana Yusof membatalkan pengumuman Menteri Dalam Negeri (ketika itu) Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang mendakwa Bersih 2.0 sebagai pertubuhan haram.

Menurut Guan Eng sehingga hari ini masih tiada sebarang komunikasi rasmi atau tidak rasmi oleh Kementerian Dalam Negeri yang menyatakan bahawa PPS menyalahi undang-undang.

“Kerajaan jenis apakah ini yang mengeluarkan perintah dan arahan melalui kenyataan akhbar tapi bukannya melalui dokumen rasmi?

“Jelas serangan terhadap PPS ini bermotif politik, apabila organisasi tersebut berfungsi sebagai satu rangkaian popular di peringkat akar umbi yang menanam semangat sukarelawan dan pembentukan warganegara bertanggungjawab,” ujarnya. – Roketkini.com