Berita

RM1 bilion untuk 1BestariNet, satu lagi projek ‘gajah putih’ kerajaan?

KUALA LUMPUR, 6 NOV: Selepas dua tahun pelaksanaan, dengan perbelanjaan RM1 bilion duit rakyat, tapi malangnya projek 1BestariNet hanya mampu digunakan kurang dari tiga peratus murid.

Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari berkata, projek inisiatif Kementerian Pendidikan dengan kerjasama YTL Communications itu yang kononnya bertujuan untuk memasang jalur lebar 4G berkelajuan tinggi di semua 10,000 sekolah serta Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE) nampaknya tidak berhasil seperti diharapkan.

“Berdasarkan jawapan Parlimen dari Menteri Pendidikan semalam, sehingga kini sebanyak 8,886 sekolah telah pun dilengkapi dengan infrastruktur 1BestariNet.

“Namun, data pada 5 hingga 11 September lalu menunjukkan hanya 137,237 murid telah mendaftar masuk (login) ke dalam sistem VLE.

“Daripada jumlah ini, hanya 76,096 atau 55 peratus telah menggunakannya untuk lebih dari 30 minit seminggu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, ini bermaksud sistem tersebut hanya digunakan oleh kurang daripada tiga peratus murid sahaja.

“Secara purata, ia bersamaan dengan kira-kira 15 pelajar bagi setiap sekolah dan jumlah murid yang benar-benar menggunakannya selama lebih 30 minit hanyalah 9 pelajar setiap sekolah,” ujarnya.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP itu menegaskan, beliau tidak menolak penggunaan teknologi maklumat (IT) di sekolah, kerana ia mempunyai potensi luas untuk memupuk kreativiti dan ketercapaian ilmu.

Namun, katanya, projek yang dilaksana ke 10,000 buah sekolah itu langsung tidak mengambil kira faktor-faktor seperti konteks tempatan, kebolehupayaan guru dan kebolehan pelajar untuk menggunakan infrastruktur.

“Hal ini menimbulkan persoalan, sama ada 1BestariNet akan mengalami nasib sama seperti projek PPSMI, di mana lebih daripada RM3 bilion telah dibelanjakan untuk perkakas IT tapi sebahagian besar tidak pernah digunakan dan dibiarkan begiti saja,” tegasnya.

Sehubungan itu, Zairil mendesak kementerian agar memberi penjelasan apakah YTL akan terus diberikan lanjutan kontrak walaupun projek tersebut terbukti hampir mengalami kegagalan.

“Kementerian juga perlu menjelaskan apakah usaha yang dirancang untuk menggalakkan penggunaan sistem ini dengan lebih meluas dan memastikan berbilion wang rakyat tidak sia-sia pada satu lagi projek gajah putih,” katanya. – Roketkini.com