Berita

Banjir Cameron Highlands: Alasan MB Pahang tak boleh diterima

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Naib Presiden DAP Teresa Kok Suh Sim ‘terkejut’ dengan alasan diberikan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berhubung isu banjir lumpur dan tanah runtuh di Cameron Highlands.

Beliau merujuk kenyataan Adnan seperti dilapor akhbar Sin Chew Jit Poh hari ini yang mengakui bencana yang berlaku disebabkan penerokaan hutan yang tidak terkawal.

Tidak berhenti setakat itu, Adnan sebaliknya berkata beliau sememangnya menyedari gejala itu sebelum ini, namun tidak mengarahkan tindakan penguatkuasaan diambil kerana ‘takut’ dikritik pihak tertentu.

“Adakah beliau rasa akan dapat meyakinkan orang ramai (dengan alasan itu)?

“Oleh kerana beliau sendiri tahu kurangnya penguatkuasaan akan menyebabkan banjir berlaku yang akan membawa kepada kehilangan nyawa dan kerugian harta benda, bagaimana beliau tetap gagal untuk mengambil tindakan segera untuk mengelakkannya?” kata Teresa dalam satu kenyataan.

“Kenyataan Adnan langsung tidak boleh terima, malah, menunjukkan beliau sendiri mengaku kerajaan gagal mengambil tindakan sewajarnya,” kata Ahli Parlimen Seputeh itu lagi.

Katanya lagi, kerajaan yang bertanggungjawab pasti tidak akan membiarkan penerokaan tanah melampau berlaku, apatah lagi memberikan alasan seumpama itu sebaik selepas bencana terjadi.

Kejadian banjir lumpur dan tanah runtuh di Ringlet dan Kampung Jawa berlaku Rabu lalu dan setakat ini meragut tiga nyawa dan menyebabkan lima cedera, serta menjejaskan kehidupan 47 keluarga.

Pada 6 Julai lalu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G Palanivel berkata, beliau tidak tahu punca sebenar yang menyebabkan pencerobohan dan penerokaan tanah yang berlaku secara berleluasa di kawasan pelancongan terkenal itu.

“Macam mana kita boleh mempunyai seorang menteri yang tidak tahu punca masalah ini, dan Menteri Besar yang mendakwa penguatkuasaan akan mengundang kritikan. Ini sangat memalukan,” ujar Teresa. – Roketkini.com