Berita

Pulau Pinang garis tiga strategi dalam belanjawan negeri 2015

GEORGE TOWN, 7 NOV: Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang menggariskan tiga strategi utama dalam Belanjawan 2015, iaitu memperkukuhkan kewangan negeri dan mempertingkatkan daya saing, memperkasa pembangunan modal insan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Ketua Menteri Lim Guan Eng dalam ucapan belanjawannya hari ini turut memperkenalkan konsep 3T, iaitu Talent (Bakat), Technology (Teknologi) dan Tolerance (Toleransi) bagi meningkatkan keupayaan masyarakat berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, bertujuan mengekalkan modal insan cemerlang dalam kelompok yang kreatif dan berdaya maju.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih berkata, bagi tujuan mengekalkan prestasi dan merancakkan pembangunan negeri lebih mampan bagi tahun 2015, kerajaan negeri akan terus memberi penekanan kepada belanjawan berteraskan hasil (outcome-based budgeting).

“Laporan Ketua Audit Negara bagi Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Tahun 2013 merumuskan bahawa kedudukan kewangan negeri adalah baik.

“Kedua-dua Akaun Hasil Disatukan dan Kumpulan wang Disatukan mencatatkan peningkatan manakala prestasi pembayaran hutang awam adalah sangat baik.

“Secara rumusan, sistem pengurusan kewangan negeri melalui urus tadbir Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) telah menunjukkan bahawa pentadbiran bersih dan berhemah berupaya untuk menjana lebihan belanjawan yang sihat,” kata Guan Eng dalam ucapan belanjawan negeri hari ini.

Menurut Guan Eng, Laporan Ketua Audit Negara turut memuji kemampuan kerajaan negeri yang berjaya mengubah anggaran defisit RM262.04 juta dalam Belanjawan 2013 kepada lebihan sebanyak RM1.30 juta.

Dalam belanjawan 2015 bertemakan ‘Melabur Dalam Pendidikan Dan Menjana Kemajuan Demi Nemenangi Masa Depan Dan Kesejahteraan Rakyat’, Guan Eng menegaskan, kerajaan negeri akan memastikan ekonomi negeri dapat terus berkembang dengan mampan, dan dapat dinikmati oleh semua lapisan rakyat.

“Cabaran utama adalah untuk mewujudkan pekerjaan pendapatan tinggi yang memberikan nilai sebenar kepada para pekerja, khususnya yang tidak berpeluang ke universiti.

“Sains dan teknologi adalah satu alternatif ke arah pekerajaan berpendapatan tinggi,” kata Guan Eng.

Dalam pada itu Guan Eng memberitahu, kumpulan wang disatukan oleh Pulau Pinang pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013 mencecah RM1.29 billion, iaitu kenaikan RM100 juta atau 8.4 peratus berbanding dengan 2012.

“Jumlah ini merupakan simpanan yang tertinggi yang pernah dicapai. Saya tidak menyangkal bahawa mungkin ada pihak yang memperlekehkan kejayaan ini dengan tohmahan bahawa simpanan terkumpul ini ialah kerana kerajaan negeri kedekut sehingga tidak membelanjakan wang.

“Kenyataan ini sama sekali tidak berasas. Kerajaan negeri membelanjakan RM832.42 juta dalam tahun 2013 berbanding RM540.08 juta pada tahun 2012.

“Kerajaan negeri hanya berjimat kerana tidak mahu pemborosan, pembaziran di samping membendung penyelewengan dalam pengurusan kewangan.

Tambahnya, kerajaan negeri berupaya meneruskan pelbagai program pembangunan dan kebajikan rakyat, di mana sejak dimulakan program bantuan sosial rakyat pada tahun 2008, lebih RM190 juta hasil negeri diagihkan secara langsung kepada rakyat.

Dalam pada itu Guan Eng turut merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Negeri Pulau Pinang, anggota perkhidmatan awam dan keselamatan yang berkhidmat dengan gigih dan penuh bertanggungjawab untuk menjamin kestabilan, keamanan, kemajuan dan kemakmuran negeri yang berterusan.

“Marilah kita sama-sama terus menggalas amanah dengan penuh tanggungjawab untuk membina ekonomi Negeri Pulau Pinang melalui Bajet 2015 ini,” kata Guan Eng mengakhiri ucapan belanjawan 2015. – Roketkini.com