Berita

Pulau Pinang penyumbang utama eksport Malaysia, negeri tumpuan FDI

GEORGE TOWN, 7 NOV: Pulau Pinang merupakan penyumbang utama nilai eksport, iaitu sebanyak 25 peratus nilai eksport negara, yang menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang dan Malaysia.

Ketua Menteri Lim Guan Eng dalam pembentangan Belanjawan 2015 Pulau Pinang hari ini berkata, negeri ini adalah antara negeri terbaik di Malaysia dari segi pelaburan langsung asing (foreign direct investment – FDI) bagi tempoh 2008 hingga Julai 2014 dengan pelaburan berjumlah RM30.2 billion.

Menurutnya, Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) menyatakan, sejumlah RM4.6 billion projek pembuatan diluluskan untuk Pulau Pinang bagi tempoh Januari hingga Julai 2014, melebihi jumlah pelaburan keseluruhan tahun 2013 sebanyak RM3.91 billion.

“Tidak boleh dinafikan pelabur asing berminat datang ke Pulau Pinang kerana mereka mahu berada dalam persekitaran yang mencerminkan falsafah korporat mereka yakni bersih, efisien dan kompetitif sama dengan urus tadbir CAT.

“Kejayaan dalam sektor industri ini menyebabkan kadar pengangguran yang paling rendah di Malaysia, sebanyak 1.7 peratus berbanding purata nasional 3.2 peratus pada 2013. Malah Pulau Pinang kekurangan 20,000 pekerja,” kata Guan Eng dalam pembentangan belanjawan Pulau Pinang hari ini.

Kata beliau lagi, Pulau Pinang berpotensi menjadi hab serantau kelima terbaik dalam perkhidmatan perkongsian penyumberan luar (Shared Services Outsourcing-SSO), dan negeri ini dikategorikan salah satu daripada 31 hab Business Process Outsourcing (BPO) global masa depan.

Tambahnya, Kerajaan Negeri telah mengorak langkah dengan membangunkan BPO bernilai RM3.3 billion untuk pembangunan ruang pejabat dan campuran seluas kira-kira 223,000 meter persegi (2.4 juta kaki per segi) yang dilancarkan pada 1 Mac 2014.

Hab BPO tersebut merangkumi tiga komponen utama iaitu Information Technology Outsourcing-BPO (IT-BPO) di Bayan Lepas dengan keluasan 74 ekar, BPO Prime di Bayan Baru dengan keluasan tujuh ekar dan Creative Animation Triggers (CAT) dengan keluasan 9,290 meter persegi di Tapak Warisan Dunia George Town.

“Kesemua ini dijangka akan menjana 30,000 peluang pekerjaan yang berpendapatan tinggi apabila projek ini dibangunkan sepenuhnya dalam tempoh 10 tahun,” ujarnya.

Dalam pada itu kata Guan Eng, industri kecil dan sederhana (IKS) turut memainkan peranan penting memandangkan sektor tersebut menyumbang kepada rantaian bekalan bagi syarikat multinasional selain syarikat-syarikat besar tempatan.

“Negeri Pulau Pinang juga telah diiktiraf oleh SME Corp Malaysia sebagai satu-satunya negeri di Malaysia yang memberi penekanan kepada pembangunan IKS.

“Lantaran itu, kerajaan negeri mengambil inisiatif melalui InvestPenang untuk membangunkan IKS di Pulau Pinang dengan menggunakan tiga pendekatan iaitu penubuhan Pusat Penasihat Pasaran, Sumber dan Latihan IKS Pulau Pinang, Pusat IKS Pulau Pinang RM40 juta sebagai pemangkin SME baru dan Perkampungan IKS Pulau Pinang di Batu Kawan,” kata Guan Eng. – Roketkini.com