Berita

Taman riadah terus berpagar, jejas kegiatan penduduk

MENTAKAB, 7 NOVEMBER: Walaupun kerja-kerja pembinaan tempat simpanan barang di atas taman riadah Taman Rimba di sini telah dihentikan buat sementara waktu, pagar yang dipasang pemaju masih terpasang menyebabkan kegiatan riadah penduduk terus terganggu.

Perkara itu dibawa Ahli Dewan Undangan Negeri Mentakab Tengku Zulpuri Shah Raja Puji ketika sesi mesyuarat dengan penduduk Taman Rimba 3 November lalu.

“Menurut mereka, surat bantahan telah pun dihantar kepada Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta pihak istana.

“Tetapi kegiatan sosial dan riadah yang sebelum ini rancak di sini terus terganggu. Kemana lagi mereka harus mengadu?” soalnya.

Beliau mula membawa isu tersebut selepas mendapat aduan 14 Oktober lalu, apabila kontraktor mula mengorek tanah di taman itu tanpa sebarang makluman kepada penduduk setempat.

Lebih menyedihkan, taman tersebut telah menjadi tempat riadah penduduk setempat sejak tahun 1975.

Menurut papan tanda yang dipasang, pihak Majlis Perbandaran Temerloh telah pun meluluskan projek menukar padang awam itu kepada tempat menyimpan barang dengan nombor kelulusan pelan 10/2/3277(BB025/2014), dan nama syarikat yang terlibat iaitu Jin Bee Enterprise Sdn Bhd.

“Mengikut kebiasaan, projek yang diluluskan mesti melalui jawatankuasa kecil dan diberikan kepada Ahli Majlis yang bertanggungjawab.

“Tetapi saya difahamkan Ahli Majlis di sini tidak diberitahu pun tentangnya.

“Bagaimana boleh terlepas pandang?” soal Tengku Zulpuri yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pahang.

Roketkini sebelum ini melaporkan desakan Ketua Pembangkang DUN Pahang itu, agar MPT menjalankan siasatan ekoran taman awam tersebut tidak termasuk dalam hak milik MPT, sehingga diambil syarikat swasta. – Roketkini.com