Berita

Kidex: Pusat digesa henti sembunyi fakta

PETALING JAYA, 8 NOV: DAP Selangor mengecam tindakan tidak bertanggungjawab Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Wahid Omar yang cuba mengelirukan orang ramai dengan fakta tidak jelas berhubung projek Lebuhraya Ekspress Kinrara-Damansara (Kidex).

Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran, Adun Damansara Utama Yeo Bee Yin, Adun Kinrara Ng Sze Han dan Adun Kampung Tunku Lau Weng San dalam kenyataan bersama menyatakan, kenyataan Wahid bahawa Kidex boleh mengurangkan kesesakan lalu lintas terutamanya di empat kawasan Petaling Jaya dibuat secara terpilih kerana tidak mengambil beberapa bahagian lainnya.

“Wahid tidak seharusnya mengikuti langkah Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof dengan hanya melihat bahagian tertentu, dan kemudian mendakwa Kidex akan mengurangkan kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur.

“Sedangkan kajian sama turut menunjukkan peningkatan kesesakan ketara sehingga hampir 20 peratus di Jalan Utara berhampiran Hotel Armada dan Lebuhraya Bukit Jalil.

“Kebanyakan persimpangan lebuhraya di Petaling Jaya akan tetap berada dalam kedudukan LOS F (kedudukan terburuk penilaian persimpangan lebuhraya) dengan atau tanpa Kidex,” kenyataan tersebut dipetik.

Mereka menegaskan, Jalan Templer/Jalan Gasing, Jalan Universiti/Jalan Kemajuan, Jalan Puchong/Jalan Kinrara 4 dan jalan ke Lebuhraya Kesas juga tetap akan berlaku kesesakan.

Dalam jawapan bertulis di Parlimen kepada Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua baru-baru ini, Wahid mendakwa dengan adanya Kidex, beberapa kawasan akan berlaku penurunan kesesakan trafik.

Kata Wahid, penurunan kesesakan trafik di kawasan termasuk Lebuhraya Utara Lembah Klang di Damansara sebanyak 16 peratus, Jalan Utara berhampiran Gereja St Paul (-21 peratus), Jalan Semangat (-18 peratus) dan Jalan Templer (-21 peratus).

Tegas kenyataan tersebut, Wahid gagal menunjukkan kriteria pengukuran lebih penting, iaitu tempoh masa perjalanan.

“Taklimat oleh perunding Kidex sendiri menunjukkan bahawa untuk perjalanan ke Petaling Jaya termasuk dari Bandar Utama dan PJ Old Town, Kidex hanya menjimatkan 1.31 peratus purata masa perjalanan,” tegas kenyataan tersebut.

Keempat-empat Adun itu menggesa kerajaan berhenti menyatakan fakta secara terpilih, sebaliknya menangani permasalahan dengan jujur demi kebaikan rakyat.

“Daripada terus memberikan fakta terpilih, lebih baik Kerajaan BN menangani semua pertanyaan yang telah diajukan MBPJ.

“Sepatutnya tidak ada lagi fakta yang perlu disembunyikan kerana isu ini telah berlarutan terlalu lama,” ujarnya. – Roketkini.com