Berita

Tiada jaminan lebuhraya Pan-Borneo tanpa tol, jawapan Menteri Kerja Raya bercanggah

SANDAKAN, 8 NOV: Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof memberikan jawapan bercanggah bahawa tiada tol dikenakan ke atas pengguna lebuhraya Pan-Borneo, kata Ahli Parlimen Sandakan, Stephen Wong Tien Fatt.

Kata Stephen, menurut jawapan yang diperolehinya dalam perbahasan Belanjawan 2015, Kementerian Kerja Raya tidak dapat memberi jaminan bahawa tiada tol dikenakan keatas pengguna lebuhraya Pan-Borneo.

“Ini jelas menunjukkan sikap tidak konsisten kerajaan Barisan Nasional. Mengapa menteri pada awalnya mengatakan tiada tol,┬ákemudian tidak memberi jaminan tiada tol dikenakan,” kata Stephen dalam satu kenyataan.

Fadillah dalam satu kenyataan seperti dilaporkan Bernama pada 11 Oktober lalu berkata, lebuh raya yang akan melibatkan pembinaan empat lorong bagi kemudahan rakyat Sabah dan Sarawak itu akan dibina tanpa tol.

Lebuhraya Pan Borneo melibatkan jajaran Sarawak sepanjang 936 kilometer dan jajaran Sabah sepanjang 727 kilometer dibina dengan kos berjumlah RM27 bilion.

Dalam pada itu kata Stephen, difahamkan kontrak pembinaan lebuhraya Pan-Borneo akan diberikan kepada UEM-MMC melalui Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI), sama seperti Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di semenanjung Malaysia

Tegasnya, kontrak harus diberikan kepada syarikat tempatan untuk membantu meningkat taraf ekonomi penduduk setempat.

“Ini adalah mengenai kesaksamaan peluang, Keutamaan bagi projek di Sabah harus diberikan kepada penduduk di negeri ini yang berkelayakan melalui tender terbuka.

“Tender tertutup hanyalah satu daripada cara untuk mengambil untung ‘atas angin’ dan punca berlakunya rasuah,” tegas Stephen,

Tambahnya, sidang Dewan Undangan Negeri Sabah yang akan membentangkan belanjawan 2015 bermula Isnin depan wajar membincangkan perkara tersebut, termasuk kualiti lebuhraya Pan-Borneo, peruntukan pembinaan dan hal berkaitan kepada rakyat negeri ini. – Roketkini.com