Berita

DAP persoal penukaran pegawai alam sekitar kumpulan Yayasan Sabah

KOTA KINABALU, 9 NOV: DAP Sabah mempersoalkan tindakan Kumpulan Yayasan Sabah memindahkan pengurus alam sekitarnya Masturah Sulaiman ke jabatan lain, selepas insiden kematian 14 gajah Borneo di Hutan Simpan Gunung Rara, Tawau tahun lalu.

Naib Pengerusi DAP Sabah Chan Foong Hin berkata, kes penukaran Masturah dipercayai ada kena-mengena dengan misteri kematian gajah yang menarik perhatian antarabangsa, terutamanya organisasi pencinta haiwan dan alam sekitar.

“Adakah ini kerana Masturah mengetahui terlalu banyak (berhubung isu kematian 14 gajah Borneo)? kata Foong Hin pada sidang media semalam. yang turut dihadiri Masturah.

Masturah sebelum ini bertugas sebagai pengurus alam sekitar di Rakyat Berjaya Sdn Bhd (RBJ), anak syarikat Kumpulan Yayasan Sabah memfailkan tindakan mahkamah terhadap tiga pegawai kumpulan itu kerana memindahkannya, berikutan laporan dibuat susulan kematian 14 gajah Borneo.

Masturah yang sebelum ini bertugas sebagai pengurus alam sekitar di RBJ semenjak 2004 turut mengetuai unit Kajian Kesan Alam Sekitar, kemudiannya dipindahkan ke Unit Alam Sekitar dan Sumber Hutan (Forest Resources and Environmental Unit).

Menurut Foong Hin, Masturah menerima laporan kematian 10 gajah Borneo pada 10 Januari 2013, di Hutan Simpan Gunung Rara kira-kira 130km dari Tawau, dan kawasan tersebut diserahkan kepada Yayasan Sabah,

Sebagai pegawai yang bertanggungjawab menyelia kawasan tersebut, beliau hairan apabila kejadian itu langsung tidak dimaklumkan kepadanya oleh RBJ mahu pun Yayasan Sabah.

Sehubungan itu, satu laporan dibuat kepada Tabung Hidupan Liar Dunia (WWF) bagi menyiasat insiden berkenaan dan jawapan balas pertubuhan itu turut dihantar kepada Kumpulan Yayasan Sabah, Jabatan Perhutanan dan Jabatan Hidupan Liar.

Sementara itu kata Foong Hin, antara kandungan writ tindakan mahkamah itu turut menyatakan bahawa Masturah menerima Borang Laporan Insiden bertarikh 14 Januari 2013 oleh Jabatan Perhilitan yang memantau akiviti haram di kawasan tersebut.

Antaranya ialah pada 30 Disember 2012 apabila seorang pekerja yang ditugaskan memantau aktiviti pembalakan haram di Hutan Simpan Gunung Rara memberitahu pegawai Perhilitan bahawa ‘seorang pegawai kem’ mengebumikan bangkai gajah jantan.

Gajah jantan dengan gading sepanjang satu kaki itu dikatakan mempunyai dua kesan luka, dipercayai akibat tembakan peluru.

Laporan tersebut turut menyatakan bahawa, pada 11 Januari 2013, petugas mencium bau bangkai dan kemudiannya menemui gajah betina, yang difahamkan telah mati sekitar 10 hari dengan bekas lubang peluru di kaki kanan.

Turut dilaporkan bahawa semua bangkai mengalami luka akibat peluru senapang dan dipercayai ditembak dari jarak dekat.

Dalam tindakan mahkamah itu, Masturah menamakan tiga pegawai kumpulan, iaitu pengurus kumpulan RBJ Gregory Mosigil sebagai defendan pertama, pengurus senior sumber manusia dan korporat Yayasan Sabah Rosmawati Lasuki dan pengurus kewangan dan pentadbiran RBJ, Li Fui Yee sebagai defendan kedua dan ketiga.

Masturah mendakwa akibat tindakan-tindakan yang dilakukan oleh ketiga defendan, beliau akhirnya terpaksa membuat keputusan meletakkan jawatan pada 22 November 2013.\

Justeru, beliau menuntut gantirugi teruk, kerosakan dan tauladan selain kos, faedah dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – Roketkini.com.