Berita

Kerana hormat Hadi, DAP minta hadir mesyuarat Pakatan

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Penghormatan DAP kepada Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang adalah sebab mengapa Presiden Pas itu diminta hadir ke mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat (PR).

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, ini kerana Hadi adalah satu-satunya pemimpin yang boleh membuat keputusan bagi pihak Pas.

“Kegagalan beliau menghadiri mesyuarat pimpinan tertinggi PR menimbulkan keraguan dan persoalan sama ada persetujuan oleh wakil Pas dalam mesyuarat pimpinan tertinggi PR merupakan keputusan muktamad Pas,” kata Guan Eng dalam kenyataannya hari ini.

Beliau merujuk beberapa keputusan bersama mesyuarat pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat seperti mana yang berlaku dalam kemelut Menteri Besar Selangor baru-baru ini, tanpa kehadiran Hadi.

Dalam Muktamar Tahunan Pas di Johor September lalu, Hadi turut menyatakan bahawa beliau berhak menolak keputusan Jawatankuasa PAS Pusat dan membuat keputusan sendiri bagi pihak Pas.

“Kenyataan Datuk Seri Hadi diterima DAP kerana ia tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak dalam Pas

“Oleh itu mesyuarat Pimpinan Tertinggi PR tanpa kehadiran beliau adalah sama seperti tidak dihadiri PAS. Tanpa Pas adalah sama seperti tanpa PR, kerana PR adalah gabungan tiga parti PKR, Pas dan DAP,” ujarnya.

Guan Eng menjelaskan, kenyataan balas Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke kepada Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berhubung isu ketidakhadiran Hadi ke mesyuarat Majlis Pimpinan PR bukannya campur tangan DAP keatas urusan dalaman Pas.

“Yang menjadi perkara pokok ialah, wakil DAP dan PKR dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PR berkuasa penuh untuk membuat keputusan bagi pihak parti masing-masing, tetapi mana wakil Pas sekiranya bukan Presiden parti sendiri yang hadir?, soal Guan Eng.

Tambahnya, kegagalan mana-mana wakil parti Pakatan Rakyat hadir ke mesyuarat pimpinan tertinggi menimbulkan keraguan orang ramai dan mempertikaikan komitmen parti tersebut ke atas janji, atau dasar bersama yang dipersetujui.

“Yang penting ialah wakil parti berkuasa untuk memberi kata putus, dan bukanlah (seperti) keadaan di mana hari ini bersetuju, esok hari ditolak,” tegas Guan Eng. – Roketkini.com.