Berita

DAP gesa hari persidangan Parlimen ditambah

KUALA LUMPUR, 10 NOV: DAP menyeru Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia agar menambah jumlah hari persidangan Parlimen tahun depan.

Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong berkata, jumlah hari persidangan perlu ditambah kerana ia merupakan satu-satunya wadah bagi Ahli Parlimen mengawasi dan meneliti tindakan kerajaan.

“Tidak seperti kebanyakan negara lain, Parlimen Malaysia tidak mempunyai sistem jawatankuasa untuk mengawasi prestasi menteri dan meneliti belanjawan menteri secara terperinci.

“Pada tahun 2008 Dewan Rakyat bersidang selama 79 hari, 72 hari (2009), 83 hari (2010), 63 hari (2011), 70 hari (2012), 51 hari (2013) dan 57 hari saja tahun ini.

“Jumlah hari persidangan perlu ditambah dan saya juga menyeru Kelab Penyokong BN (BNBBC) untuk turut sama memberikan tekanan kepada kerajaan supaya bersetuju dengan cadangan ini,” kata Chin Tong dalam satu kenyataan, hari ini.

Berdasarkan kalendar sementara Parlimen, jumlah hari persidangan Dewan Rakyat yang dijadualkan untuk tahun depan adalah 61 hari.

Manakala 61 hari itu dibahagikan kepada tiga sesi iaitu 9 Mac hingga 9 April, 18 Mei hingga 18 Jun dan 19 Oktober hingga 3 Disember 2015.

Chin Tong yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP berkata, dengan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK 11) pada 21 Mei depan, dan Belanjawan 2016 (21 Oktober), ia menguatkan keperluan penambahan hari persidangan.

Menurutnya, ketika RMK-10 dibentangkan empat tahun lalu, Parlimen diberikan hari khusus untuk berbahas dan Dewan Rakyat bersidang selama 83 hari.

“(Hanya) 61 hari untuk membahaskan RMK-11 tahun depan bukan satu petanda baik.

“Sebagai perbandingan, Dewan Rakyat British bersidang selama 162 hari untuk sesi 2013-2014 dan Australia biasanya selama bersidang 150 hari setahun,” ujarnya.

Chin Tong turut mengkritik jumlah hari perbahasan belanjawan tahun ini yang semakin berkurangan, sekaligus mengehadkan ruang perdebatan untuk menyemak dan menimbangtara tindakan kerajaan.

“Dua tahun lalu, 18 hari diperuntukkan untuk ‘peringkat jawatankuasa’ perbahasann belanjawan, tetapi sekarang hanya 10 hari.

“Ini bermakna di dalam sistem parlimen yang merosot, penelitian kerajaan semakin terbatas dan terhad. Perkara ini perlu diubah. -Roketkini.com