Berita

Hadir forum PasMa untuk kongsi pengalaman krisis Perak – ADUN Canning

IPOH, 10 NOV – DAP akan terus berusaha memperkukuhkan Pakatan Rakyat dan menghormati pendirian parti-parti komponen demi memastikan harapan rakyat Malaysia terlaksana.

Ahli Dewan Undangan Negeri Canning Wong Kah Woh dalam kenyataannya hari ini berkata, DAP Perak akan memastikan model Pakatan Rakyat di negeri ini dapat diteladani oleh negeri-negeri lain.

Wong yang juga Setiausaha DAP negeri memberi penjelasan berhubung kehadirannya ke forum ‘Di sini lahirnya Pakatan Rakyat’ anjuran Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) di Hotel Seri Malaysia, dekat Ipoh 7 November lalu.

Katanya, beliau secara individu dan DAP Perak tidak pernah berhasrat untuk mencampuri urusan dan hal  ehwal dalaman mana-mana parti rakan Pakatan Rakyat.

“Persoalan (yang) telah dibangkitkan (adalah) berkenaan dengan kehadiran saya dalam forum anjuran PasMa.

“Saya (hanya) berkongsi pengalaman berkenaan situasi dan fenomena politik negeri Perak sebelum dan selepas lahirnya Pakatan Rakyat.

“Saya membincangkan bagaimana Pakatan Rakyat negeri Perak bertambah kukuh atas usaha yang gigih daripada ketiga-tiga parti, selepas krisis perlembagaan negeri Perak pada tahun 2009,” kata Wong.

Tambahnya, DAP Perak akan tetap berjuang bersama PAS dan PKR, dan pengalaman mereka ketika kerajaan negeri Pakatan Rakyat dirampas secara tidak bermoral oleh BN memperkukuh setiakawan antara ketiga-tiga parti politik.

Wong mengingatkan bahawa, Pakatan Rakyat adalah satu-satu perserikatan politik alternatif bagi menggantikan Barisan Nasional dalam pilihanraya umum ke-14.

Justeru itu ujarnya, kesemua parti dalam Pakatan yang diletakkan harapan oleh rakyat perlu melakukan usaha berterusan demi memastikan harapan perubahan di negara ini terlaksana

Kata \Wong, di Perak sehingga hari ini sahaja 60 mesyuarat Badan Tertinggi Pakatan Rakyat Negeri Perak telah diadakan, dan ia merupakan sebuah rekod yang mendahului negeri-negeri yang lain.

“DAP Perak akan teruskan usaha untuk memastikan model Pakatan Rakyat negeri Perak dapat menjadi teladan yang terbaik,” kata Wong. – Roketkini.com