Berita

1BestariNet wajar digantung elak pembaziran

KUALA LUMPUR, 11 NOV – Dengan kos berjumlah RM4.1 bilion untuk tempoh 15 tahun, projek 1BestariNet hampir pasti akan menjadi satu lagi projek gajah putih Barisan Nasional.

Laporan Ketua Audit Negara yang terbaru menunjukkan keraguan pelaksanaan 1BestariNet oleh kontraktornya YTL Communications Sdn Bhd (YTLC),

YTLC hanya menyelesaikan separuh pemasangan internet jalur lebar dariipada kira-kira 10,000 sekolah menjelang Mac 2013.

Manakala sehingga Jun tahun ini, tidak sampai 90 peratus dari keseluruhan pemasangan berjaya disiapkan, dengan kira-kira 1,082 sekolah masih dalam proses menunggu.

“Akibatnya, YTLC telah didenda RM2.4 juta oleh Kementerian Pendidikan,” ujar Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari, dalam satu kenyataan.

“Tambahan kepada itu, 89.1 peratus dari 46 buah sekolah yang diuji serta 70.3 peratus daripada 491 responden mendedahkan bahawa kelajuan internet hanyalah setakat 0.2Mbps hingga 3.62Mbps, jauh lebih rendah berbanding kelajuan 4Mbps ke 20Mbps yang dinyatakan dalam kontrak,” ujarnya.

Kata Zairil, kegagalan menyelesaikan projek tersebut mewajarkan kontrak YTLC digantung serta merta bagi mengelak daripada pembaziran berterusan.

Namun katanya, Virtual Learning Environment (VLE) di 351 ‘Champion Schools’ terpilih yang menerima latihan khas perlu diteruskan sebagai penanda aras projek tersebut.

“Champion Schools’ ini patut dijadikan projek perintis bagi memastikan kelemahan dan kekuatan 1BestariNet sebelum ia diteruskan ke 10,000 buah sekolah di seluruh negara.

“Sekiranya 1BestariNet dibenarkan berterusan dalam keadaannya sekarang, tidak syak lagi bahawa RM4.1 bilion wang pembayar cukai dibazirkan untuk satu lagi projek gajah putih,” kata Zairil.

Projek 1BestariNet melibatkan pemasangan internet jalur lebar berkaljuan tinggi di 10,000 buah sekolah di seluruh negara serta pelaksanaan sistem pembelajaran atas talian VLE untuk kegunaan 5.5 juta murid dan 500,000 orang guru di seluruh negara. – Roketkini.com