Rencana

Palak Agong

Zaman sekarang semua pentingkan’ kepala agong’. Semua perlu ‘kepala agong’. Tak ada ‘kepala agong’ bukan tak jadi kerja tapi lambat sikitlah kerja nak siap. Eh apa cerita ‘kepala agong’ ni? Cuba seluk poket seluar atau poket baju. Ada tak kertas warna biru, merah dan jingga?

Kalau nak tahu, muka orang atas kertas berwarna itu ialah Yang Di Pertuan Agong Malaysia yang pertama; Almarhum Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad. Kalau kalian nak tahu, dulu Sarawak masa masih bergelar sebuah negara pun ada matawang tersendiri – Sarawak Dollar. Dari tahun 1858 sampai tahun 1953 matawang itu guna di Sarawak. Dulu bapa saya ada koleksi duit-duit kertas dan syilling yang lama. Tapi masa rumah kena pecah masuk dulu, hilang semua. Sayangnya..

Cerita pasal duit ni,siapa bekerja atau belajar memang hari-hari perlu pakai duit. Untuk beli minyak kereta atau motor, untuk tambang bas atau LRT,untuk beli makanan dan paling penting untuk masa sesak. Yang mana yang sudah berkeluarga tu,banyak lagi nak difikir dari orang bujang. Mana lagi nak bayar rumah,bayar kereta,bayar bil,membeli barang dapur, yang mana sudah beranak-pinak itu fikirkan bekal anak,duit bas sekolah. Yang ada anak kecil fikir pasal susu dengan lampinnya lagi. Semua perlu duit. Tapi duit ni selalu lambat sangat masuk, tapi cepat sangat keluar. Betul tidak? Lebih lagi yang bekerja sendiri. Yang makan gaji adalah benda nak ditunggu hujung atau awal bulan.

Rata-rata kita dan kawan di sekeliling boleh melabel diri sebagai kelas pertengahan. Marhaen kata kita.. Nak kata susah sangat tak juga, insya-Allah masih dapat makan dua kali sehari. Nak kata senang sangat tidak juga. Sesak-sesak juga rasa bila dah masuk tengah bulan..Sedang-sedang lah. Tapi cuba tanya diri atau dengan kawan-kawan, bebas hutangkah kita? Ada berhutang dengan PTPTN, ada berhutang dengan bank (dari segi loan kereta,rumah dan yang sewaktu dengannya), dan bila masa sesak sangat terpaksa berhutang dengan kawan.

Dimana silapnya? Adakah pengurusan kewangan kita? Atau silap kita tidak mencari kerja sampingan, kerja lebih kuat dan lebih masa? Dalam keadaan ekonomi kita yang seperti ini, apa pun yang kita buat mesti tetap tidak mencukupi. Minyak naik,tambang bas naik, harga rumah naik, harga barang keperluan naik. Mana tidak rakyat naik angin dengan keadaan sebegini? Kemudian keluar ayat – ‘rakyat mesti berjimat’, ‘jangan beli rumah kalau harga naik’, ‘jangan makan ayam kalau harga naik – makan ikan atau daging’.
‘Jangan beli sayur kalau harga naik – tanam sayur sendiri’, ‘naik harga gula – elak diabetes’, dan dalam banyak-banyak kata ‘hikmat’ yang keluar, paling tidak dapat dilupakan ialah ‘harga barang ketentuan Allah’.

Kata-kata ‘nikmat’ ini sudah seperti memerah limau ke tangan yang luka, seperti mencurah minyak ke api. Manalah tidak orang makin sakit hati. Lebih lagi bila kita tahu fasal pembaziran yang dilakukan oleh jabatan-jabatan kerajaan dari Laporan Audit Negara. Ini cerita benar. Silalah merajinkan diri baca Laporan Audit setiap tahun.

Sila ambil tahu juga tentang skandal berkaitan duit di Malaysia ini. Sebagai contoh sedikit, Perwaja Steel, PKFZ, MAS dibawah pengurusan Tajudin Ramli, lembu tinggal dalam kondo atau kes NFC. Ini antara kes skandal yang melibatkan duit bukan seringgit dua, tapi berjuta-juta!

Kadar kemiskinan di negara kita bukan di tahap yang membanggakan. Apa dilaporkan media, apa dikatakan oleh Menteri jangan terus percaya. Buka mata, pandang kiri kanan, berapa banyak orang yang hidup susah? Tidak perlu pandang jauh, lihatlah diri sendiri. Rasa stabil tak tahap kewangan? Kalau kita sendiri pun rasa kewangan diri tidak stabil, bayangkan apa perasaan orang susah yang kita kenal. Kita terus jadi tertanya-tanya, tidak dapat bantuankah mereka? Dari JKMkah, bantuan dari pihak zakatkah? Bukankah kita orang Islam bayar zakat untuk diagihkan pada orang-orang yang selayaknya? Kenapa mereka tidak mendapat bantuan? Salah siapa? Salah mereka atau salah birokrasi? Kasihan bila pergi ke pejabat yang berkaitan minta bantuan tapi ditolak kerana tidak cukup syaratlah, kerana borang tidak lengkaplah,kerana letak pendapatan isi rumah rm600 terus tidak layak? RM600 itu masih mampu kata orang pejabat tersebut!

Mereka yang berkata begitu belum lagi merasa bergaji sebanyak itu. Kalau sudah – mahunya terkelu dihadapan orang miskin ini. Ada orang susah dia rajin berusaha. Dia berniaga makanan di kawasan yang strategik. Tapi akhirnya kena tarik oleh pihak berkuasa. Tiada permit alasannya. Yalah.. permit ini menguntungkan pihak berkuasa bukan? Ini atas pemerhatian saya dekat kawasan rumah saya sendiri. Memang kawasan pejabat pagi atau tengah hari kebiasaannya ada kelihatan lori dan kereta persendirian berniaga. Bukan sikit-sikit orang beratur beli makanan. Sebab,kawasan ini kalau nak makan kedai biasa kadang-kadang mahal. Ada kedai murah sentiasa penuh. Mahu tidak mahu kena cari pilihan lain.

Bila barang dijual habis, peniaga yang berlori atau yang memakai kereta itu berkemas-kemas dan beredar. Dari pihak berkuasa itu merampas dan beri denda keatas orang yang berniaga itu, lebih baik mereka saman orang yang letak kereta tepi dekat garisan kuning. Itu lebih menyusahkan orang kerana bila nak keluar simpang, menghalang pandangan. Saya sendiri selalu beli jagung rebus dari orang meniaga itu. Hanya menggunakan motor yang sudah diubahsuai. Tapi dah lama dah saya tak nampak dia atau orang-orang lain yang selalu berniaga. Apalah nasib mereka?

Panjang bebelan saya kali ini. Kita sama merasa bagaimana kehidupan sekarang. Semua mahal. Dulu beli gula-gula RM0.20 sen empat biji. Sekarang ada orang jual RM0.20 sen tiga biji sahaja. Keropok dulu RM0.20 sen sebungkus, sekarang dah RM0.30 sen. Isi pun dah makin sedikit. Ingat kalau duduk di kampung sekarang macam dulukah kecil belanja? Jangan terkejut kalau beli barang di kampung lebih mahal dari bandar. Sekarang peniaga semua fikir untung tak kira bandar atau luar bandar. Kepala agong’ mesti banyak dalam poket. Yang kita inilah mengeluarkan ‘kepala agong’ saban hari saban minggu. Moga- moga kita semua tabah dengan keadaan ekonomi kita. Usaha kuat, doa dipermudahkan segala urusan.

Ingat satu hal! Kesusahan hidup bukan lesen untuk kita berbuat jahat. Jangan merompak, angan meragut, jangan mencuri! Usaha demi rezeki yang halal. Tuhan sentiasa bersama kita.

Bahasa Sarawak

Zaman nektok semua menting palak agong. Semua perlu palak agong. Sekda palak agong bukan sik jadi kerja tapi lambat sikit lah kerja mok siap. Aihh apa cerita palak agong tok? Coba seluk kocek sluar,atau kocek baju. Ada sik kertas warna biru kah,merah kah,oren kah? Jangan sik tauk, muka orang atas kertas berwarna ya ialah Yang Di Pertuan Agong Malaysia yang pertama; Almarhum Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad. Dan mun tak orang mok tauk,dolok Sarawak masa nya masih bergelar sebuah negara pun ada matawang nya mpun eh. Sarawak Dollar. Dari tahun 1858 sampey tahun 1953 matawang ya di pakey di Sarawak. Dolok bapak kamek ada koleksi duit-duit kertas ngan syilling nok lamak. Tapi masa rumah kenak pecah masuk dolok hilang semua. Sayang aih…

Cerita pasal duit tok,siapa berkerja atau belajar nang hari-hari perlu makey duit. Pakey meli minyak kereta atau motor,pakey tambang bas atau lrt,pakey beli barang makan dan paling penting pakey masa sontok. Nak ney nak udah berkeluarga ya,banyak agik nak dipikir dari orang bujang. Ya gik nak mayar rumah,mayar kereta,mayar bil,berbeli barang dapur,nak ney nak udah beranak pinak ya mikir kan bekal anak,duit bas sekolah,nak ada anak kecik mikir susu ngan lampin nya gik. Semua perlu berduit. Tapi duit tok selalu lambat gilak masuk tapi deras gilak nya keluar. Menar sik?? Lebih lagik nak bekerja dirik mpun. Nok makan gaji ada lah nak ditunggu hujung atau awal bulan.

Rata-rata kita ngan kawan di sekeliling boleh melabel dirik sebagai kelas pertengahan. Marhaen kata dirik tek nak.. Nak kata susah gilak sik juak inshaAllah masih dapat makan duak kali sehari,nak kata senang gilak ya sik juak,sesak-sesak juak rasa bila dah masuk tengah bulan..Sedang-sedang lah. Tapi coba nanyak dirik atau ngan kawan-kawan,bebas hutang kah sik kita? Ada berhutang dengan PTPTN,ada berhutang dengan bank(dari segi loan kereta,rumah dan yang sewaktu dengan nya), dan bila masa sontok gilak terpaksa berhutang ngan kawan. Di siney silap nya? Adakah pengurusan kewangan kita? Atau silap kita sik carik kerja sampingan,kerja lebih kuat dan lebih masa? Dalam keadaan ekonomi kita yang macam tok,apa pun yg kita polah mesti tetap sik cukup. Minyak nait,tambang bas nait,harga rumah nait,harga barang keperluan nait.ney sik rakyat nait angin ngan keadaan macam tok.lepas ya keluar ayat “rakyat mesti berjimat”,” jangan beli rumah kalau harga naik”, “jangan makan ayam kalau harga naik,makan ikan atau daging”, “jangan beli sayur kalau harga naik,tanam sayur sendiri”,”naik harga gula elak diabetes”,dan dalam banyak-banyak kata “hikmat” yang keluar paling sikpat di lupak “harga barang ketentuan Allah”. Kata-kata “hikmat” tok dah kedak merah limo ke tangan yg lukak,kedak mencurah minyak ke api. Ney lah sik orang makin sakit hati. Lebih lagik bila kita tauk pasal pembaziran yg dipolah oleh jabatan-jabatan kerajaan dari laporan audit negara. Tok cerita benar. Silalah merajinkan dirik baca laporan audit setiap tahun. Sila amik tauk juak pasal skandal berkaitan duit di Malaysia tok. Tok merik contoh lah sikit, Pewaja Steel, PKFZ, MAS dolok dibah pengurusan Tajudin Ramli, lembu diam rah kondo atau kes NFC. Tok antara kes skandal yg melibatkan duit bukan singgit duak tapi berjuta-juta!

Kadar kemiskinan di negara kita bukanlah ditahap yg membanggakan. Apa di lapor media apa di kata sidak menteri jangan alu di cayak. Bukak mata pandang kerek kanan berapa banyak orang yg hidup susah? Atau sik boh jauh gilak. Nangga dirik mpun ya. Rasa ok kah sik kewangan dirik? Mun kita mpun gik rasa kewangan dirik sik ok eh, bayangkan apa rasa ati orang miskin yang kita tauk. Kita alu jadi tertanyak-tanyak, sik dapat bantuan kah sidak tok? Dari JKM kah,bantuan dari sidak zakat kah? Bukan kita orang islam bayar zakat untuk diagihkan pada orang-orang yg selayaknya kah? Kenak sidak sik dapat bantuan? Salah siapa? Salah sidak atau salah birokrasi. Tedah bah pegi ke pejabat yg berkaitan mintak bantuan tapi kenak reject setegal sik cukup syarat lah,setegal borang sik lengkap lah,setegal engkah pendapatan isi rumah rm600 tek lalu sik layak.rm600 ya gik mampu kata orang pejabat ya tek. Sidak nak madah gia belum ndak cerik rasa bergaji banyak ya. Mun udah kali maok terbebek depan orang golongan miskin tok.. Ada urang susah nya rajin berusaha.nya berjual barang makan rah kawasan yg strategik,tapi ujung nya kenak tarit oleh pihak berkuasa. Sekda permit katanya tek.

Yalah,permit tok nguntong pihak berkuasa nak. Tok kamek perhati dekat kawasan rumah kamek mpun lah.nang kawasan ofis.pagi atau tengah hari kebiasaan ada nangga lori atau kereta persendirian orang berjual. Bukan sikit-sikit orang beratur meli barang makan. Sebab apa,kawasan tok mun nak makan keday biasa kadang-kadang mahal,ada keday murah sentiasa penuh,maok sik maok carik option lain. Bila barang di jual habis,sidak lori atau yg makey kereta ya kemas-kemas lalu balit. Dari sidak pihak berkuasa ya merampas ngan merik denda ngan orang yg berjual ya tek eh,bagus sidak saman orang nak parking tepi jeraya,dekat line kuning ya. Ya lagik menyusahkan orang sebab bila nak keluar simpang alu sik nampak kereta atau motor datang dari kerek kanan. Kamek dirik selalu meli jagung rebus dari orang berjual ya. Makey motor jak nya. Tapi dah lamak dah kamek sik nampak nya atau orang-orang lain yang selalu berjual ya kinek tok. Hmmm apa lah nasib sidak?

Panjang ngerepak kamek kali tok. Kita sama rasa bah camney beridup kinek tok. Semua mahal.. Dolok meli gula batu 20 sen 4 igek. Nektok ada orang jual 20 sen 3 igek jak cayak sik? Keropok dolok 20sen sebungkus nektok dah 30sen. Isi pun dah makin sikit. Mikir mun diam di kampung kinek kedak dolok marek kecik belanja kah? Jangan terkejut mun berbeli barang di kampung lagik mahal dari barang di bandar. Nektok peniaga semua mikir untung sik kira bandar atau luar bandar.Palak agong mesti mok banyak dalam poket. Yang kita tok lah ngeluar palak agong saban hari saban minggu. Moga- moga lah kita semua bertabah dengan keadaan ekonomi kita. Usaha kuat,doa dipermudahkan segala urusan. Ingat sigek hal! Kesusahan hidup bukan lesen untuk kita ngerja nak jaik. Jangan merompak,jangan meragut,jangan mencuri! Usaha demi rezeki yang halal. Tuhan sentiasa bersama kita

*Palak Agong: Kepala Agong, duit kertas.