Berita

Pelan keselamatan semasa krisis jerebu perlu ditambahbaik

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Ahli Parlimen Bakri Er Teck Hwa, membangkitkan kepentingan agar parameter pengawasan kualiti udara negara ditambahbaik daripada PM10 kepada PM2.5 terutamanya ketika menangani masalah jerebu di negara ini.

Menurut Teck Hwa, jawapan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2015 peringkat jawatankuasa yang diiterima dari Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar memaklumkan bahawa kerajaan kini merancang program pengawasan kualiti udara menggunakan perkhidmatan konsesi baru yang akan bermula pada tahun 2016.

“Saya menyambut baik kesediaan kerajaan dalam dua perkara ini walaupun seharusnya ia telah dilakukan lebih awal ekoran krisis jerebu yang teruk dan sering melanda negara kita,” kata Teck Hwa dalam kenyataannya, hari ini.

‘PM2.5’ adalah keadaan dimana debu-debu halus yang mempunyai diameter tidak melebihi 2.5 micron, lebih kecil dari rambut manusia (50-70 micron), berbanding debu, debunga (pollen), dan ‘mold’ yang bersaiz kira-kira 10 micron.

Piawaian PM2.5 dijangka mendatangkan kesan serius terhadap jarak penglihatan, akibat penyerakan cahaya (scattering of light) dan seseorang yang meninjau suatu pemandangan akan mengalami penyerakan cahaya ini dalam bentuk jerebu (experience this scattering of light as haze).

Dalam pada itu kata Teck Hwa, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar menyatakan bacaan IPU perlu dihantar ke Jabatan Alam Sekitar untuk menentukan kesahihan data itu sebelum ianya dikeluarkan.

“Saya mencadangkan agar proses ini dikaji semula dan dipermudahkan, kerana apabila bacaan IPU mencecah paras sangat bahaya, Jawatankuasa Bencana Daerah dan Pejabat Pendidikan Daerah boleh mengeluarkan arahan dengan segera untuk menutup sekolah,” ujarnya.

Jerebu teruk melanda negara, terutamanya di bahagian pantai barat semenanjung dan Sarawak antara bulan Februari hingga Julai tahun ini dengan bacaan paling teruk direkodkan pada kadar 159 di kawasan Sibu.

IPU pada tahap antara 0-50 adalah baik, sederhana (51-100), tidak sihat (101-200), sangat tidak sihat (201-300) dan berbahaya (lebih 301).

Keadaan ini diburukkan lagi akibat kesan El Nino yang secara umumnya akan menyebabkan taburan hujan berada di bawah paras purata semasa musim monsun barat daya.

Keadaan jerebu tebal ini menjejaskan industri penerbangan kerana mengurangkan jarak penglihatan juruterbang kurang 1,000 meter, yang merupakan jarak penglihatan minima dan selamat.

Antara komponen yang terdapat dalam jerebu ialah karbon monoksida, sulfur dioksida, nitrogen dioksida, ozon, habuk dan logam yang boleh membawa kesan buruk kepada kesihatan manusia terutama kanak-kanak, warga tua dan individu yang menghidap penyakit seperti asma, alahan, pneumonia dan penyakit paru-paru.

Justeru kata Teck Hwa, agensi kerajaan yang lain seperti Majlis Keselamatan Negara, (MKN) Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan dan lain-lain agar menetapkan amalan wajib bagi mengagihkan topeng muka N95 secara percuma kepada penduduk di kawasan yang terjejas sebaik IPU mencecah kepada paras 200.

“Cadangan kerajaan untuk menambah stesen pengawasan kualiti udara automatik daripada 52 buah sedia ada kepada 65 buah stesen disambut baik,” ujarnya. Roketkini.com.