Rencana

Pemimpin Umno sendiri tolak laungan ‘kesederhanaan’ Najib

Kekecohan yang dicetuskan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Umno Selangor dan Ahli Parlimen Tanjung Karang Datuk Noh Omar di Parlimen semalam (10 November) telah menimbulkan persoalan – adakah majoriti Menteri, Ahli Parlimen dan pemimpin Umno seperti Noh Omar tidak bersedia untuk membuat pengisytiharan terbuka menyokong Gerakan Kesederhanaan Global (GMM), namun pada sama enggan mengaku ekstremis?

Tentu menarik untuk membuat cabutan undi tentang perkara ini.

Soalan ini sewajarnya ditanya empat tahun selepas Najib melancarkan kempen GMM-nya, malah disambut dengan jawapan yang tidak memuaskan adalah cerminan menyedihkan terhadap kegagalan satu lagi dasar utama Perdana Menteri keenam kita.

Dasar penanda aras pertama Najib yang menempa kegagalan adalah seawal 2010, apabila timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam reaksi terhadap cabaran saya mengisytiharkan beliau adalah ‘Melayu dahulu, Malaysia kemudian’ (Malay first, Malaysian second). Jawapan itu sepenuhnya menolak Dasar 1Malaysia Perdana Menteri!

Semalam, sewaktu Noh Omar berlagak hero ketika saya berbahas mengenai isu Jabatan Perdana Menteri dalam sesi perbahasan Belanjawan 2015, saya mencabarnya kembali untuk menyatakan pendirian, sama ada beliau seorang ‘moderat’ atau pun ‘ekstremis’, berpandukan konteks ucapan Najib dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 26 September lalu.

Dalam ucapannya Najib berkata; “Perjuangan menentang ekstremisme bukan tentang Kristian melawan Muslim, atau Muslim melawan Yahudi, namun golongan sederhana melawan golongan ekstrim. Maka kita perlu menyatukan golongan sederhana, mereka yang ingin menebus kembali agamanya, dan meneruskan jalan keamanan.”

Walaupun dicabar berulang kali, Noh Omar enggan mengisytiharkan bahawa dirinya seorang yang ‘sederhana’ seperti dinyatakan dalam kempen GMM Najib, sebaliknya cuba melepaskan diri dengan kenyataan tidak bermakna; “Di dalam Dewan ini, saya mengisytiharkan, sebagai rakyat dan Ahli Parlimen, bahawa saya mematuhi Perlembagaan Persekutuan dan Rukunegara”.

Namun, beliau gagal pula untuk menyatakan, di bahagian manakah dalam Perlembagaan dan Rukunegara yang mengabsahkan ugutan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali untuk membakar kitab Bible, tanpa perlu berdepan hukuman dan undang-undang.

Maka, bukanlah satu kejutan sekiranya Noh Omar enggan menjawab apabila saya secara khusus bertanya kepadanya, sama ada beliau bersetuju dengan dasar sifar-toleransi terhadap ancaman untuk membakar mana-mana kitab suci agama di Malaysia.

Sebelum itu saya menyatakan, sepertimana tiadanya toleransi terhadap rasuah, sepatutnya tiada toleransi juga terhadap mana-mana ancaman untuk membakar kitab suci mana-mana agama di Malaysia – sama ada Al-Quran bagi orang Islam, Bible bagi Kristian, Tripitaka bagi Buddhisme, Vedas bagi Hinduisme, Torah bagi Judaisme, Guru Granth Sahib bagi Sikhisme dan Tao Te Ching bagi Taoisme.

Selama ini Noh Omar tidak pernah setuju dengan dasar sifar-toleransi terhadap rasuah (yang menjadi punca mengapa masalah rasuah di Malaysia parah dan berleluasa). Maka, tentunya mustahil untuk meminta beliau bersetuju dengan dasar sifar-toleransi terhadap ancaman membakar kitab suci ini.

Jika demikian, bagaimana beliau layak menjadi ‘moderat’ dalam konteks pertembungan antara ‘moderat dengan ekstrem’ dalam perjuangan melawan ekstremisme?

Namun petunjuk yang paling berguna dalam kekecohan ditimbulkan Noh Omar adalah betapa Menteri dan pemimpin Umno tidak bersedia untuk menyokong secara terbuka gerakan kesederhanaan ketuanya sendiri, namun masih lagi menafikan bahawa mereka adalah ekstremis!

*Lim Kit Siang adalah Ketua Parlimen DAP dan Ahli Parlimen Gelang Patah