Berita

Tanah adat diceroboh, MB Pahang abai nasib orang Asal

TEMERLOH, 11 NOV: DAP Pahang mengutuk kecuaian kerajaan negeri yang mengakibatkan berlakunya pencerobohan tanah adat orang Asal di Bera, kononnya atas nama pembangunan.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji menegaskan, perilaku keterlaluan menyukarkan kehidupan orang Asal di Kampung Lubuk Perah, Bera dekat Triang untuk mencari rezeki demi sesuap nasi.

“Pencerobohan itu telah memusnahkan hampir tiga hektar tanaman getah termasuk seluas lebih 265.45 hektar tanah adat oleh kontraktor IRAWI Holding Sdn Bhd.

“Perbuatan ini mengakibatkan sumber pendapatan mereka terjejas sehingga ada yang terpaksa mencari rezeki di tapak pelupusan sampah berhampiran. Mengapa mereka dianaktirikan sebegini rupa?,” kata Tengku Zulpuri dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Adun Mentakab telah mengadakan sesi dialog bersama Tok Batin Adat dari Kampung Lubuk Perah, Hajemi Bin Din Beta bersama 150 orang Asal dari keturunan Semalai untuk membincangkan isu pencerobohan tersebut.

Dalam perjumpaan tersebut, satu memo bantahan turut diserahkan kepada Tengku Zulpuri untuk disampaikan kepada Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Menurut Tengku Zulpuri yang juga Pengerusi DAP Pahang, berdasarkan pertemuan itu, beliau difahamkan tidak ada pertemuan di antara pihak berkuasa dengan wakil orang Asal sebelum kerja-kerja pembersihan hutan dilakukan.

Menurut satu laporan polis yang dikepilkan bersama memorandum tersebut, pada 27 Ogos 2014 kira-kira 30 kenderaan pacuan empat roda pelbagai agensi kerajaan dan pegawainya memusnahkan tanaman penduduk Kampung Pathir seluas 46 ekar.

Tanpa sebarang perbincangan dan pemberitahuan, tanaman orang Asal yang berusia dua tahun itu dimusnahkan dengan menggunakan parang dan racun, manakala kerugian dianggarkan berjumlah RM350,000.

Lebih mengecewakan, tindakan zalim itu dilakukan di hadapan anggota polis, pegawai Pejabat Tanah dan pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli )JAKOA).

Tok Batin Adat Kampung Orang Asli Lubuk Perah Hajemi Din yang kesal dengan pencerobohan tersebut berkata, tindakan oleh agensi dan pegawai kerajaan itu bukan sahaja memusnahkan sumber pendapatan mereka, malah mengakibatkan penduduk terpaksa menanggung kerugian.

Dalam pada itu kata Tengku Zulpuri, pemusnahan kebun yang diusahakan orang Asal itu seolah-olah membenarkan Akta Orang Asli 1954 dan Akta 134 tidak dihormati.

“Jika binatang seperti gajah, beruang dan binatang lain dijaga dengan baik, sebaliknya orang Asal dianggap tidak wujud dan dianaktiri,” ujarnya. – Roketkini.com