Berita

DAP sertai mesyuarat pimpinan PR hanya dengan kehadiran Hadi

KUALA LUMPUR, 12 NOV – Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP (CEC) memutuskan untuk tidak hadir ke mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat tanpa kehadiran Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam kenyataannya berkata, keputusan tersebut dibuat untuk memastikan gabungan tiga parti Pas, PKR dan DAP terus bersemangat demi mengembalikan semula kepercayaan pengundi.

“Memandangkan Datuk Seri Abdul Hadi merupakan satu-satunya pemimpin yang boleh membuat keputusan dalam PAS, justeru itu (beliau) perlu hadir ke mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, DAP akan menanti sehinggalah beliau berkelapangan untuk hadir, sebelum turut hadir ke mesyuarat tersebut,” ujarnya.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut menggesa Pakatan Rakyat mengembalikan semula kepercayaan dan keyakinan golongan ‘Malaysia pertengahan’, dengan menepati janji dan melaksanakan komitmen terhadap prinsip urus tadbir yang baik, keadilan, kebebasan dan demokrasi.

Sementara itu perkara dalam mesyuarat semalam CEC mengumumkan untuk mengusulkan pindaan terhadap perlembagaan parti, termasuk cadangan kuota 30 peratus jawatan CEC untuk wanita.

“Ini adalah usaha bersepadu oleh DAP untuk menggalakkan lebih ramai wanita menyertai DAP.

“(Ini) menunjukkan komitmen kami untuk menambah bilangan pemimpin wanita di Malaysia, terutamanya keterlibatan pemimpin wanita muda,” jelasnya.

Persidangan Kebangsaan DAP akan berlangsung pada 14 Disember nanti di One City Convention Hall, USJ.

Takziah buat mangsa tanah runtuh Cameron

Mesyuarat CEC turut merakamkan takziah kepada mangsa tragedi tanah runtuh di Cameron Highlands baru-baru ini.

Kerajaan Pusat digesa untuk bukan sahaja mengambil langkah pemulihan, tetapi juga mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab menyebabkan tragedi tersebut.

Hujan lebat minggu lalu mengakibatkan kejadian tanah runtuh sekitar laluan ke Cameron Highlands, serta banjir lumpur di Ringlet sebanyak dua kali. Setakat ini, lima jiwa dilaporkan terkorban. – Roketkini.com