Berita

Walaupun gagal urus insinerator Pangkor, kontrak pengendali disambung tiga tahun

KUALA LUMPUR, 12 NOV: DAP mempersoalkan kewajaran Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan & Kerajaan Tempatan (KPKT) menyambung kontrak pengendali insinerator Pulau Pangkor, XCN Technology Sdn Bhd (XCNT) selama tiga tahun.

Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming berkata, penganugerahan kontrak baru dengan nilai RM3.56 juta tidak wajar sama sekali kerana XCNT terbukti gagal menguruskan insinerator di Pulau Pangkor.

“Pemberian kontrak mengendali dan mengekalkan insinerator Pulau Pangkor kepada XCNT secara terang-terangan melanggar piawaian alam sekitar oleh kementerian, menunjukkan mereka tidak pernah mempedulikan kesihatan penduduk.

“Walaupun Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan Laporan Ketua Audit Negara menyebut kegagalan pengurusan insinerator di Pulau Pangkor, nampaknya kementerian tidak mengendahkannya, malah meneruskan operasi seperti biasa,” kata Kian Ming dalam satu kenyataan.

Laporan Ketua Audit Negara 2012 mendedahkan kelemahan ketara operasi insinerator Pulau Pangkor.

Pada 15 September lalu, NGO Kami Tak Nak Insinerator (KTI) mengadakan lawatan ke Pulau Piangkor.

Antara masalah dikenalpasti termasuk kegagalan mengasingkan sisa sebelum pembakaran dan pembuangan bahan yang tidak sepatutnya, masih tetap berlaku.

Semalam,PAC dalam satu kenyataan mengesyaki wujud rasuah dalam penganugerahan projek pembinaan empat loji insinerator di Pulau Pangkor, Pulau Langkawi, Cameron Highlands dan Wilayah Persekutuan Labuan membabitkan kos bernilai RM184.74 juta.

PAC mendapati KPKT gagal menjalankan tanggungjawab dalam memilih teknologi berdasarkan cadangan kontraktor XCNT.

“Prototaip terakhir digunapakai XCNT di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MPKT) telah gagal, dan prototaip sama di UiTM Shah Alam hanya membakar kertas buangan.

“PAC mengatakan pakar-pakar dari UTM dan Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) gagal melaksanakan tanggungjawab mereka dalam menilai teknologi XCNT,” ujar Kian Ming.

Sehubungan itu, KPKT digesa bertindak tegas terhadap kesalahan dilakukan Ketua Setiausahanya dan Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara.

“Ini termasuk pakar, Prof Mohd Rozainee Taib dari UTM dan penganalisis utama Dr Sivapalan Katsiravale dari MIGHT yang terlibat dalam pemilihan teknologi, perancangan dan pelaksanaan projek ini,” tegasnya. -Roketkini.com