Berita

DAP Sarawak bantah pindaan RUU tanah, bimbang eksploitasi golongan kaya

KUCHING, 13 NOV: DAP Sarawak membantah keras Rang Undang-undang (RUU) Pindaan Kod Tanah 2014 yang membenarkan Tanah Adat Peribumi (NCR) yang khusus untuk golongan peribumi tertentu dijual kepada peribumi lain.

Ini kerana ia berisiko dieksploitasi oleh golongan peribumi kaya dan menyebabkan golongan miskin kehilangan tanah adat mereka, kata Pengerusi DAP Sarawak Chong Chien Jen.

“Jika kita biarkan RUU ini diluluskan tanpa sebarang perlindungan, akan tiba saatnya golongan yang peribumi kaya me miliki majoriti tanah adat, sementara yang miskin tidak ada tanah untuk bertani.

“Kita tidak boleh menyokong RUU ini selagi kerajaan tidak menambah (kandungan) RUU ini untuk melindungi kepentingan kebanyakan golongan peribumi,” katan Chieng Jen.

Berucap dalam sesi perbahasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak 11 November lalu, beliau membangkitkan apa yang berlaku di China kira-kira 60 tahun lalu, apabila petani miskin terpaksa bercucuk tanam di tanah milik pemilik kaya.

“Maka perlu ada perlindungan untuk menjamin hanya golongan peribumi yang tinggal di kawasan yang sama boleh membeli tanah NCR di situ,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Sentosa itu lagi.

RUU tersebut diperkenalkan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Pemodenan Pertanian Tan Sri Alfred Jabu bagi meminda Seksyen 5 (2) akta itu untuk membenarkan tanah NCR tidak bernama untuk ‘diwariskan, dimiliki, dibeli, dijual kepada peribumi lain’.

Portal Malaysiakini melaporkan, pindaan itu bakal dimanipulasi golongan peribumi yang kaya dan memiliki syarikat besar untuk membeli tanah NCR, kerana tahu ia akan dibangunkan pada masa akan datang.

“Apabila mereka tahu kerajaan merancang untuk membangunkan kawasan itu, mereka akan membeli tanah NCR dengan harga murah. Apabila jalan dibina, nilainya akan meningkat dan mereka akan untung besar.

“Pemilik tanah asal pula ‘nadai apa-apa’ (tak dapat apa-apa),” katanya lagi.

Justeru, beliau mencadangkan agar kerajaan negeri mewujudkan lembaga tanah adat bagi memantau penjualan tanah bagi mengelakkan ribuan peribumi kehilangan harta mereka.

“Jika ini terjadi, ia akan mendatangkan keburukan kepada semua pihak,” katanya lagi.

‘Fikirkan nasib komuniti anda sendiri’

Sementara itu pada sesi perbahasan sama, Adun Meradong Ting Tze Fui menyatakan kebimbangan bahawa pindaan itu akan digunakan golongan tertentu untuk memiliki tanah adat melalui pihak ketiga.

“Kaji betul-betul dan fikirkan tentang komuniti anda sendiri,” katanya, merujuk kepada Alfred yang berasal dari etnik Dayak.

“Bagi peribumi, tanah ibarat ‘nyawa’. Kerajaan Negeri perlu mewujudkan dasar pro-rakyat agar golongan ini dapat hidup dan bekerja dengan aman di tanah mereka sendiri,” ujarnya. – Roketkini.com