Rencana

EIA, bencana alam dan prestasi Menteri

Telah dua kali kejadian banjir lumpur dan kejadian tanah runtuh berlaku di Tanah Tinggi Cameron. Kedua-duanya memakan nyawa manusia. Ini tidak termasuk kejadian di Gunung Pulai 2001 di Johor, Pos Dipang 1996 di Perak, Keningau 1996 di Sabah (ribut Greg) dan tragedi Highland Towers 1993 di Ulu Klang.

Kesemua tragedi ini berlaku di kawasan yang menjadi lokasi penduduk yang ramai, sama ada kawasan perumahan, pertanian atau pelancongan.

Subjek geografi saya ketika SPM hanya gred 5, maka saya ini layak dikategorikan sebagai kumpulan pelajar bodoh dalam subjek Alam dan Manusia ini.

Namun, melihat kepada latar peristiwa-peristiwa ini, minda saya ter‘luluhawa’ dengan beberapa input baru. Maka berapa pun kelulusan geografi saya, ia tidak lagi releven kerana sesiapa pun diantara kita boleh memahami betapa bodohnya manusia yang ‘pandai’ merancang pembangunan.

Mengapa saya yang bodoh geografi ini mengatakan bodoh kepada mereka yang pandai dalam bidang tersebut?

Kerana kita tidak pernah belajar dari kelemahan dan kesilapan.

Bagaimana mungkin dengan segala agensi yang kita ada, tetapi masih gagal menangani masalah ini? Kita ada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar yang menterinya adalah Ahli Parlimen kawasan terbabit, dibawahnya ada segala macam agensi melibatkan pengurusan, pemantauan, penguatkuasaan dan pembuat dasar.

Kita ada Jabatan Alam Sekitar dengan kepakarannya, kita ada Jabatan Tanah dan Galian, Jabatan Pertanian, Jabatan Perhutanan, Jabatan Ukur dan Pemetaan. Kita juga ada agensi di peringkat negeri seperti Pejabat Daerah, Majlis Daerah, Jabatan Pengairan dan Saliran serta kerajaan negeri itu sendiri.

Itu tidak termasuk syarat-syarat dan peraturan pembangunan yang telah ditetapkan seperti EIA, DEIA, lesen, permit dan sebagainya.

Terlalu banyak agensi boleh mendatangkan kecelaruan dan pertindanan tugas. Masing-masing akan tolak sana tolak sini. Tempat seperti Tanah Tinggi Cameron ini adalah kawasan pertanian, pelancongan dan juga perumahan. Maka agensi atau kementerian manakah sepatutnya bertanggungjawab ke atas keadaan ini, atau kesemua agensi negeri dan pusat?

Jika semua bertanggungjawab, siapa pula yang mengetuainya? Adakah perlu ketua ini mewujudkan panel bebas untuk menyiasat punca nahas yang berulang ini?

Dalam tragedi-tragedi seumpamanya, janganlah bercakap soal takdir atau bala dari langit atau Tuhan sedang murka. Jangan semudah itu beragama dalam keadaan kita tidak amanah dan cuai. Ini soal urusan manusia yang samada gagal atau culas menjalankan tanggungjawabnya.

Menyalahkan perasuah dan pekerja asing adalah jawapan paling cuai yang pernah saya dengari dari orang politik. Kemudian mewujud atau meminda undang-undang dan hukuman agar ‘jadi pengajaran’. Ini penyelesaian yang sangat simplistik.

Kita semua tahu ada kejadian rasuah melatari masalah ini. Namun itu bukan jawapannya kerana rasuah memerlukan pemantauan berterusan, bukan bermusim seperti musim tengkujuh.

Hal pekerja asing juga kita sedia maklum, tetapi mereka bukan punca hujan turun dengan lebat hingga berlaku banjir lumpur.

Agensi-agensi kerajaan berbangga dengan pengiktirafan Sijil Pengurusan Kualiti ISO 9000, tetapi apakah hasil yang dapat dilihat oleh rakyat?

Hujan lebat, banjir tidak boleh kita henti atau ‘ISO’kan. Itu fenomena alam. Tetapi kita yang memiliki kudrat dan pengetahuan yang seharusnya mampu mengawal, menyelia dan mencegah kemalangan dari berulang di tempat yang sama.

Mungkin menteri dan pegawai-pegawai yang terlibat perlu kita ‘DEIA’kan, untuk memastikan mereka ini peka dan jujur dalam menjalankan tugas dan amanah.

* Mahdzir Ibrahim adalah AJK DAPSY Kebangsaan, pendukung seni dan kebudayaan

Nota:

Laporan Penilaian Alam Sekitar (Environmental Impact Assessment) atau Laporan Terperinci Penilaian Alam Sekitar (DEIA) dihantar pemaju kepada Jabatan Alam Sekitar bagi mengenalpasti, meramal, menilai dan memberi maklumat mengenai kesan-kesan terhadap alam sekitar akibat daripada sesuatu cadangan projek.

EIA atau DEIA mengemukakan langkah-langkah tebatan sebelum sesuatu projek dilulus dan dilaksanakan bagi mengurangkan masalah alam sekitar akibat sesuatu projek atau pembangunan.

Antara kategori projek yang memerlukann EIA atau DEIA adalah pertanian, pengairan dan saliran, tebus guna tanah, perumahan, industri, infrastruktur, pelombongan. penjanaan dan pemancaran kuasa, pemajuan rekreasi, peranginan, pengolahan dan pelupusan bahan buangan.