Berita

Pulau Pinang perkenal langkah baru atasi kenaikan harga rumah

GEORGE TOWN, 13 NOV: Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil usaha proaktif dengan memperkenalkan beberapa langkah untuk menyejukkan pasaran hartanah dan menstabilkan kenaikan sebagai usaha mengatasi isu peningkatan harga perumahan.

Exco Perancangan Bandar, Desa dan Perumahan Jagdeep Singh Deo berkata, antara langkah diambi termasuk langkah ‘penyejukan pasaran hartanah’ telah diperkenalkan dalam Belanjawan Negeri tahun lalu.

“Pertama ialah melanjutkan moratorium penjualan unit kos rendah dan kos sederhana rendah kepada 10 tahun (berbanding lima tahun) dari tarikh pembelian pertama

“Kedua, mewujudkan moratorium penjualan unit rumah mampu milik kepada lima tahun dari tarikh pembelian prinsipal,” kata Jagdeep dalam ucapan penggulungan belanjawan Pulau Pinang.

Tambahnya, kerajaan negeri turut memperkenalkan fi kelulusan tiga peratus ke atas harga belian transaksi pembelian oleh warga asing, dan dua peratus penjualan hartanah yang dibeli tidak melebihi tiga tahun dari tarikh pembelian prinsipal.

Selain itu, Adun Datuk Keramat itu menyatakan, satu mekanisme mengawal kenaikan harga rumah iaitu penetapan siling harga untuk perumahan mampu milik juga telah dilakukan

“Di bahagian pulau, kawalan harga adalah tidak lebih RM200 ribu untuk unit dengan saiz 750 kaki persegi, RM300 ribu 850 kaki persegi dan RM400 ribu 900 kaki persegi.

“Manakala di bahagian Seberang Perai, kawalan harga adalah tidak lebih RM150 ribu untuk unit dengan saiz 750 kaki persegi, RM200 ribu 850 kaki persegi dan RM250 ribu 900 kaki persegi.

“Langkah ini berlainan dengan agensi persekutuan seperti JKP Sdn Bhd dan PERDA yang membina unit perumahan dengan harga mencecah RM1.85 juta di kawasan pulau dan RM575,000 di kawasan Seberang Perai, tetapi dianggap sebagai perumahan mampu milik,” ujarnya.

Menurut Jagdeep, kerajaan negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) akan mengkaji cadangan saranan agar penyelenggaraan projek perumahan diambilalih akibat kutipan fi pengurusan yang kurang memuaskan.

“Kami mengakui terdapat jumlah besar badan pengurusan yang mana kutipannya adalah kurang memuaskan.

“Namun, usaha pengambilalihan kepada kerajaan negeri itu memerlukan kajian terperinci dimana pelbagai aspek perundangan perlu diambil kira, kerana ia merupakan satu perubahan dasar yang besar dan mempunyai implikasi perundangan,” katanya. -Roketkini.com