Berita

Henti operasi ‘remeh’, tangani masalah kemalangan maut

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Sudah tiba masanya Kementerian Pengangkutan mengakui hakikat bahawa Malaysia memiliki kadar kematian jalanraya per-kapita tertinggi di dunia, dan menumpukan usaha menanganinya.

Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong mengulas langkah Kementerian Pengangkutan dan agensi dibawahnya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang seperti hilang punca dan cuba menutup masalah sebenar yang serius.

“Saya menggesa Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengakui hakikat itu,dan berhenti dari terus memanipulasi data untuk mengatakan sebaliknya,” kata Chin Tong dalam satu kenyataan.

Dalam satu temubual bersama Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad yang tersebar luas baru-baru ini, langkah memburu kereta bercermin gelap dan plat nombor yang tidak mengikut piawaian bertujuan menurunkan kadar kematian kepada 5,358 orang menjelang tahun 2020.

“(Kenyataan) Ismail menjadi bahan lawak rakyat. Kenyataan itu keutamaan mengarut (misplaced priority), untuk memburu nombor plat yang tidak mengikut piawaian, bukannya hal lebih penting untuk mengurangkan kemalangan,” kata Chin Tong lagi.

Beliau turut membidas kenyataan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi yang berbangga apabila kematian jalanraya menurun kepada 3.05 peratus bagi setiap 10,000 pada 2012, berbanding 4.88 peratus sepuluh tahun lalu.

Kata Chin Tong, penurunan itu tidak menunjukkan situasi sebenar, kerana Abdul Aziz tidak menyebut peningkatan dua kali ganda kenderaan berdaftar dalam tempoh itu.

“Sejumlah 12.06 juta kenderaan berdaftar pada tahun 2012, meningkat sehingga 23.71 juta setakat 31 Disember 2013.

“Kementerian juga tidak menyebut hakikat bahawa Malaysia adalah negara yang memiliki kadar kematian jalanraya tertinggi per kapita sejak tahun 1996, jika dikira dengan jumlah kematian per 100,000 populasi,” katanya.

Pengarah Pendidikan Politik DAP itu merujuk Laporan Keselamatan Jalanraya 2013 World Health Organisation yang menunjukkan kadar kematian jalan raya di Malaysia adalah yang tertinggi, iaitu 25 kematian bagi setiap 100,000 populasi, berbanding China (20.5), Russia (18.6) dan  India (18.9).

“Antara tahun 2000 hingga 2009, sebanyak 4.5 juta kemalangan dengan 58,582 kematian dilaporkan. Pada tahun 2008 pula, sejumlah 6,527 kemalangan maut berlaku dan ia sentiasa meningkat setiap tahun.

“Maka sudah tiba masanya untuk Liow bertegas dengan JPJ dan memastikannya mengakui hakikat mengerikan ini dan mula menanganinya bersungguh-sungguh,” katanya lagi. – Roketkini.com