Berita

Tutup mulut nelayan Johor dengan insentif khas?

JOHOR BAHRU, 14 NOV: DAP Johor mempersoalkan sama ada peruntukan RM 1.8 juta diumumkan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bertujuan ‘menutup mulut’ 1,800 nelayan kawasan Johor selatan yang terjejas teruk akibat pembangunan projek mega.

ADUN Bekok Lim Eng Guan dan AJK DAP negeri Mahdzir Ibrahim dalam satu kenyataan bersama berkata, sekiranya pemberian insentif khas dibuat berdasarkan isu tersebut, jelas ia merupakan satu keputusan yang tidak munasabah.

“Apakah justifikasi kerajaan negeri membuat pemberian ini? Adakah ia insentif khas atau pemberian ehsan kepada golongan nelayan selatan Johor yang terjejas teruk akibat pembangunan projek mega?

“Apa pun istillah digunakan, langkah ini jelas sekali tidak memadai. Malah menunjukan kerajaan negeri mengambil mudah dengan langkah simplistik yang hanya memberi kesan jangka pendek,” kenyataan tersebut dipetik.

Mohamed Khaled dalam pembentangan belanjawan 2015 di Dewan Undangan Negeri Johor minggu ini mengumumkan peruntukan RM 1.8 juta kepada 1,800 nelayan di kawasan Johor.

Difahamkan insentif RM 1,000 akan diserahkan kepada nelayan 1,800 nelayan, namun tidak ada pemberitahuan sama ada pemberian akan dibuat secara berperingkat atau mengikut kumpulan.

Sebelum ini DAP Johor menuntut pemaju Forest City dan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) menjelaskan pelan pampasan kepada kumpulan nelayan yang terjejas akibat projek tambakan tanah seluas kira-kira 4,000 ekar di perairan Selat Johor.

Kerajaan negeri mengenakan caj rm 0.30 bagi sekaki persegi tanah ditambak, dan hasil jualan tanah yang dijangka melebihi RM 104 juta akan digunakan untuk membantu kumpulan nelayan.

“Memandangkan lebih tiga bulan penguatkuasaan berjalan, berapa hasil terkumpul setakat ini?

“(Perkara) ini juga mendatangkan persoalan sama ada wang RM 1,000 diambil dari kutipan caj Tabung Nelayan yang ditubuhkan itu atau dari peruntukan lain,” soal kenyataan tersebut.

Dalam konteks belanjawan negeri, adalah wajar kerajaan menyediakan peruntukan yang mencukupi bagi mengatasi masalah ini secara menyeluruh dan berstruktur.

Tambah kenyataan tersebut, kerajaan negeri seharusnya menjalinkan kerjasama dengan agensi antaranya Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) atau Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT).

“Malah Iskandar Regional Development Authority (IRDA) sendiri boleh membantu untuk merancang dan melaksanakan agenda ekonomi, khusus bagi kumpulan nelayan.

“Tetapi dengan pemberian sekali RM 1,000 kepada nelayan, apakah kesan jangka panjang yang boleh diharapkan oleh pihak kerajaan negeri?

“Nelayan mengharapkan ‘pancing’, tetapi yang diberi adalah ikan,” tegas kenyataan tersebut. – Roketkini.com