Berita

DAP Selangor puji usaha Azmin pulangkan Bible

KUALA LUMPUR, 15 NOV: DAP Selangor hari ini memuji usaha jujur dan berprinsip Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali dalam menunaikan komitmennya untuk mengembalikan kitab Bible bahasa Melayu dan Iban yang dirampas awal tahun lalu.

“Azmin menunaikan kata-katanya. Keteguhan dan kejujurannya menegakkan prinsip Pakatan dalam isu ini dan mempertahankan Perlembagaan akhirnya berbaloi dengan pemulangan Bible semalam,” kata Pengerusi DAP Selangor Tony Pua.

“Apa yang gagal dilakukan pentadbiran lalu selama sembilan bulan, berjaya dilakukan Azmin kurang daripada 60 hari,” katanya lagi.

Namun, DAP tidak dapat mengelak daripada merasa bimbang bahawa isu tersebut dapat diselesaikan segera ketika pentadbiran negeri bertukar akhir September lalu.

“Walaupun komitmen ditunjukkan amat dialu-alukan, bohong jika saya kata pimpinan DAP tidak merasa sangsi. Kebimbangan itu memandangkan kegagalan Menteri Besar lalu (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) serta kuatnya penentangan pihak lawan.

“Kita tidak sepatutnya meraguinya,” kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu lagi.

Sebaik dilantik menjadi Menteri Besar baru, Azmin bersama-sama barisan Adun Selangor bersetuju untuk menjadikan penyelesaian isu tersebut sebagai perkara utama pentadbiran baru.

Ia akhirnya menjadi kenyataan semalam, apabila kesemua 351 naskah Bible Bahasa Melayu dan Iban dikembalikan kepada Persatuan Gereja-gereja Sarawak (ACS) dalam satu majlis di Istana Shah Alam, walaupun dengan syarat ia tidak boleh diedarkan di negeri itu.

Dalam pada itu, Pua juga merakamkan penghargaan kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang telah memastikan semangat kesederhanaan diutamakan di negeri berbilang kaum dan agama itu.

“Sikap Tuanku telah menyebabkan situasi ‘menang-menang’ kepada semua komuniti di negara ini,” katanya lagi.

Katanya lagi, tamatnya kemelut itu merupakan petanda cerah kepada pentadbiran baru Selangor dalam membina kerajaan yang benar-benar cekap dan telus.

“Kami yakin dengan dedikasi yang sama, Selangor di bawah pimpinan Azmin akan berjaya menyelesaikan pelbagai isu rakyat – daripada lebuhraya dan jalanraya, sampah dan kerajaan bersih – dengan membina sebuah pentadbiran yang cekap dan telus,” katanya lagi. – Roketkini.com.