Wawancara

Howard Lee: Dapur dan politik, bagai lagu dan irama

howard2Ada satu persamaan di antara Adun Pasir Pinji, Howard Lee dengan pemimpin komunis Vietnam, Ho Chi Minh. Tidak, Howard Lee bukan seorang komunis. Kedua-duanya berkongsi laluan kerjaya yang serupa. Howard dan Pakcik Ho sama-sama menyertai politik dari pintu dapur, sebagai tukang masak.

“Ada beza antara tukang masak terlatih dan seseorang yang dilatih menjadi tukang masak,” Howard ketika sempat meluangkan masa bersama Roketkini baru-baru ini.

“Tukang masak terlatih itu dilatih di institusi pengajian tertentu, kemudian pergi menjalani latihan dan sebagainya. Sebaliknya saya pula mempelajari bidang ini daripada bekerja,” ujarnya, memulakan perbualan tentang kerjaya lamanya itu.

Howard Lee lahir pada tahun 1983 di Ipoh. Anak muda ini kemudiannya berpeluang melanjutkan pelajarannya ke England. Pada masa yang sama beliau di kolej, beliau juga seorang pekerja sepenuh masa dalam bidang kulinari, di dapur restoran tempat kerjanya kerana sudah tidak mahu mengambil wang daripada ibu bapa.

“Walaupun mereka mampu, saya tidak mahu. Saya sedikit degil. Jadi saya bekerja sepenuh masa, maka pada usia 16 tahun saya sudah tinggal di rumah sendiri; hasil titik peluh bekerja di restoran Pizza Hut pada waktu itu,” kata Howard.

Pengalamannya bermula lebih awal, ketika tinggal bersama ibu saudaranya di Great Yarmouth, Norfolk, England. Ketika itu beliau baru sahaja berusia 12 tahun. Tidak hairan kenapa setiap kali Howard bercakap dalam bahasa Inggeris, sukar untuk percaya yang menuturkannya adalah seorang anak Cina dari Ipoh.

chef_howard2“Ada sebatang jalan di pekan itu, namanya King Street yang dipenuhi restoran. Segala jenis restoran ada di sana dari segala macam negara,” kisahnya tentang kejiranan yang disebutnya begitu kosmopolitan sehinggakan istilah kaum dan apatah lagi perkauman, langsung tidak timbul.

Segalanya kian bertambah menarik apabila Howard menyertai sebuah restoran bercorak ‘fine dining’; istilah yang jenuh difahami kita orang biasa yang lazimnya balik-balik makan nasi goreng daging merah dan teh o ais limau.

“Dalam satu malam barangkali kita hanya melayani sepuluh meja, tetapi setiap satu meja akan berbelanja hampir £10,000,” jelasnya yang pada waktu itu melanjutkan pelajaran dalam bidang sains. Howard hampir sahaja mahu menjadi seorang doktor namun tidak berjaya mencambahkan minat yang mencukupi untuk maju ke arah itu.

Ketika berhadapan pilihan untuk sama ada berkerjaya atau melanjutkan pelajaran ke universiti, beliau lebih selesa menongkah arus kebiasaan dan memilih untuk terus sahaja membina kerjaya. Katanya beliau memang tidak suka untuk melakukan perkara yang serupa dengan orang lain.

Beliau yang mengawal menu harian restoran tersebut, yang pada waktu itu menukar menunya setiap hari dan bereksperimen dengan bahan-bahan dan citarasa berbeza. Namun malang bagi beliau, pihak British Home Office (dalam bahasa kita barangkali disebut jabatan imigresen) telah menghilangkan pasportnya, justeru memaksanya pulang ke Malaysia.

Ketika itulah beliau terlibat dengan pilihanraya umum ke-12 pada tahun 2008. Nampak seakan tidak kena memandangkan bidangnya pada waktu itu bergulat dengan dapur, dan periuk-belanga. Namun Howard sebenarnya memang telah meminati politik seawal sekolah tinggi dan menyertai perdebatan parlimen belia di tempatnya.

howard_ge“Saya bertemu Wong Kah Woh (Adun Canning) dan bertanya apa yang telah beliau sediakan untuk kempennya; dan beliau hanya tercengang. Jadi saya menawarkan untuk membantu beliau,”

“Entah bagaimana dalam masa lebih kurang setengah hari tiba-tiba saya dilantik menjadi pengurus kempennya,” kata Howard.

Langkah tersebut serta faktor kesihatan ayahnya yang kurang baik membenih keputusannya selepas itu untuk terus menyambut seruan perubahan dan pulang ke Malaysia untuk berkhidmat bersama DAP.

Chef, rakyat yang merakyat

“Saya berpendapat bahawa para tukang masak adalah sekumpulan manusia yang harus bekerja diam-diam di balik tabir untuk menenangkan gundah gulana perut manusia,”

“Kami harus bekerja berhempas pulas di dapur, sementara pelanggan bersuka-suka di meja makan,” katanya, cuba membina keserasian antara orang politik dan tukang masak.

chef_howardBaginya politik adalah suatu keperluan dalam hidup, tidak kira bagaimana jenuh kita cuba menafikannya. Begitu juga makan minum.

“Ada makanan yang sedap, dan ada yang tidak. Ada juga politik yang buruk dan ada yang tidak. Begitu juga ada restoran arus perdana, dan ada restoran jenis indie, yang makan dalam gelap atau dengan bertutup mata,”

“Sistem makan minum, supply dan demand, ini sama sahaja seperti politik. Duduk di dapur ini sama saja seperti menjadi pengurus projek, menguruskan ratusan hidangan; sepertimana seorang ahli politik menguruskan ratusan hal kebajikan dan keperluan masyarakat,” ujar Howard.

Baginya tukang masak punya lebih banyak persamaan dalam bidang politik berbanding seorang peguam.

Falsafah politik Howard diterjemahkan dengan mudah melalui masakan. Seperti masak sekeping steak katanya; satu proses saintifik mengubah lapisan protein dan kolagen pada daging mentah menjadi sesuatu yang begitu menyelerakan.

Daripada tidak boleh dimakan menjadi sangat-sangat mahu dimakan, bergantung kepada cara memasak dan siapa yang memasak.

“Politik pula adalah menterjemahkan sesuatu ideologi menjadi dasar-dasar, faedah, arahan dan sebagainya,” jelas beliau.

howard _pasMenurutnya juga meskipun Malaysia telah melalui pendemokrasian di pelbagai peringkat, negara masih lagi belum mencapai demokrasi sebenar. Malah sebenarnya negara tersangkut di tahap autokrasi pilihanraya, apabila mereka yang dipilih rakyat akhirnya menekan dan menindas dengan dasar ekonomi, politik dan sosial.

Ditanya sama ada setuju bahawa “kemerdekaan sebenar adalah apabila setiap usus perut rakyat berisi nasi”, Howard langsung menambah bahawa adalah tidak cukup sekadar kenyang di suatu ketika, namun kemudiannya merasa kelaparan semula.

“Hari ini mungkin kenyang berisi nasi, esok pula bagaimana?” soalnya.

“Hanya apabila kita berjaya menyelesaikan masalah tersebut; barulah benar kita betul-betul merdeka.” – Roketkini.com