Berita

Pulau Pinang martabat seni-budaya, anjur acara sukan bertaraf antarabangsa

GEORGE TOWN, 15 NOV: Dalam usaha mengimbangi kepesatan teknologi, ekonomi dan pembangunan, kerajaan Pulau Pinang turut mengangkat peranan kesenian dan kebudayaan dalam usaha memperkaya warisan negeri.

Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga, Komuniti dan Kesenian Chong Eng berkata, menerusi galakan kerajaan negeri, sektor awam dan swasta boleh bekerjasama terutama dengan golongan kreatif dalam usaha penganjuran acara kesenian di negeri ini.

“Saya percaya Jawatankuasa Kebudayaan dan Kesenian sentiasa membuka  pintu untuk memberikan bantuan kepada beliawan dan beliawanis yang berminat.

“Malah, Jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Belia dan Sukan juga bersedia untuk memberi bantuan yang diperlukan sekiranya diminta,” kata Chong Eng dalam ucapan penggulungan Belanjawan Pulau Pinang 2015 dua hari lalu.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa berhasrat membantu penggiat seni-budaya melalui penyediaan kemudahan di seluruh Pulau Pinang.

Merujuk soalan Teh Yee Che (Tanjung Bungah) dan Ong Kok Fooi (Berapit) mengenai penyediaan platform drama, teater dan kebudayaan, Chong berkata, kemudahan sedia ada adalah meluas serta masih boleh lagi digunakan secara komprehensif tanpa sebarang kekangan.

Katanya, terdapat senarai lokasi pentas persembahan di kawasan terbuka yang tidak memerlukan sebarang bayaran seperti di Taman Perbandaran Belia Pulau Pinang (Youth Park), Dewan-Dewan Komuniti, Pentas Terbuka di Bukit Mertajam, Whiteaways dan Automall.

Selain itu, platform program ‘Armenian Street Got Talent’ setiap Sabtu di Lebuh Armenia, malah sektor swasta seperti pengurusan Autocity Juru sentiasa mengalu-alukan penggiat seni menghubungi mereka dalam mempromosi kegiatan tersebut yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat.

Peruntukan negeri untuk baiki kemudahan

Dalam pada itu, kata Ketua Wanita DAP itu lagi, kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan bagi pembinaan lebih daripada satu gelanggang futsal di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri di lokasi bersesuaian.

Beliau menyarankan Adun di kawasan masing-masing menyenaraikan cadangan lokasi tapak kepada Pegawai Daerah  supaya pelaksanaannya dapat disegerakan.

Tambahnya, meskipun dalam keupayaan terhad, Pulau Pinang berjaya menganjurkan program sukan bertaraf antarabangsa seperti Kejohanan Skuasy Wanita Dunia, ‘Penang Run 2014’, ‘Penang International Triathlon & Duathlon 2014’ dan Kejohanan Angkat Berat Komanwel.

Namun, peningkatan kualiti prasarana sukan di negeri ini terbantut berikutan kegagalan Pusat menunaikan janji untuk menyalurkan peruntukan, antaranya usaha membaik pulih Kompleks Sukan Bertam yang dianggarkan berjumlah RM 3.5 juta.

“Pejabat Exco Belia dan Sukan sebelum ini telah berkali-kali mengutus surat kepada YB Menteri Belia dan Sukan Malaysia mengenai perkara ini.

“Kali terakhir permohonan dihantar adalah daripada pejabat saya sendiri pada 2 Disember 2013. Namun, harapan kekal harapan.

“Tiada peruntukan disalurkan Pusat sehinggalah kerajaan negeri dengan keupayaan kewangan negeri menetapkan peruntukan pada tahun 2015 untuk membaiki dewan tersebut,” kata Chong Eng. – Roketkini.com