Berita

Pakatan Rakyat Johor cadang dasar 40 peratus rumah mampu milik

JOHOR BAHRU, 16 NOV: Pakatan Rakyat (PR) Johor mencadangkan kerajaan negeri melaksanakan ‘Dasar Perumahan Rakyat’ untuk membina 40 peratus rumah kos rendah dan mampu milik bagi setiap pembangunan perumahan melebihi lima ekar.

Dalam satu kenyataan PR Johor menyatakan, langah tersebut perlu dibuat bagi membolehkan rakyat yang berpendapatan rendah dibawah RM3,000 sebulan dan sederhana (di antara RM3,000– RM6,000 sebulan) mampu memiliki rumah sendiri.

Kenyataan tersebut dibaca bersama Pesuruhjaya Pas Johor yang juga ADUN Parit Yaani, Aminolhuda Hassan, Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong, Ketua Pembangkang DUN Johor, Dr Boo Cheng Hau dan wakil PKR Johor Steven Choong.

Menurut kenyataan tersebut yang memetik Persatuan Pemaju Perumahan  (REHDA), harga rumah akan meningkat tiga hingga empat peratus sebaik cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan pada 1 April 2015.

“Walaupun sektor hartanah kediaman tidak dikenakan GST, namun bahan binaan dan fi professional dikenakan tehadap yang kemudiannya akan akan diserap ke dalam kos dan harga rumah.

“Bagi mengelakkan kenaikan harga kediaman apabila GST dilaksanakan, sektor hartanah kediaman hendaklah dikategori sebagai ‘pelepasan cukai berkadar sifar, dimana pemaju tidak boleh dikenakan output GST tetapi menuntut input GST,” kenyataan tersebut dipetik.

Merujuk Laporan Indeks Harga Rumah oleh firma Penyelidikan Global Knight Frank pada Jun 2014, Malaysia berada pada tempat ke-15 dalam senarai harga rumah tertinggi di dunia.

Manakala pemaju perumahan tidak berminat membina rumah kos rendah dan mampu milik yang harga jualannya dikawal kerajaan seperti rumah kos rendah pada harga RM35,000 seunit, sedangkan kos bahan binaan, tanah dan pinjaman bank lebih tinggi

Justeru itu, PR Johor mencadangkan rumah kos rendah dan mampu milik sebagai tanggungjawab sosial atau kemasyarakatan pihak pemaju (Corporate Social Responsibility – CSR).

“Kerajaan dalam masa yang sama boleh memberikan galakan atau insentif kepada pemaju bagi mengurangkan kerugian mereka dalam membina rumah kos rendah dan mampu milik,” jelas kenyataan tersebut.

Antara insentif yang boleh diberikan adalah seperti pengurangan dalam bayaran premium tukar syarat kegunaan tanah, meningkatkan densiti pembangunan , meningkatkan kawalan ketinggian bangunan (height control) dan meningkatkan plot ratio pembangunan.

Kerajaan Johor sebelum ini telah meningkatkan sasaran pembinaan rumah mampu milik kepada 37,000 daripada 27,000 dalam masa lima tahun.

Syarikat GLC negeri, Johor Corporation (JCorp) memberi komitmen untuk membina sebanyak 8,000 unit rumah mampu milik yang berharga RM150,000 seunit, namun jumlah tersebut masih tidak mencukupi.

“Setakat ini 47,367 permohonan telah diterima kerajaan bagi pembelian rumah mampu milik.

“Kerajaan perlu meningkatkan penglibatan syarikat  GLC lain seperti Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) dan Perbadanan Islam Johor (PIJ) dalam membina perumahan mampu milik.

“Kerana pada kebiasaanya syarikat-syarikat ini mendapat sumber tanah daripada pihak kerajaan pada kos yang minima berbanding pihak swasta yang perlu membeli tanah pada harga pasaran semasa,” tambah kenyataan itu lagi. – Roketkini.com.