Berita

‘Bail out’ 1MDB terbesar dalam sejarah

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Rakyat kini sedang menyaksikan ‘bail out’ terbesar dalam sejarah negara, apabila kerajaan terdesak menyelamatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), badan pelaburan milik Kementerian Kewangan yang kini sedang ‘nazak’.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata antaranya melalui kontrak ‘runding terus’ beberapa projek janakuasa elektrik serta pembelian tanah strategik dengan harga yang terlampau murah.

“Penjadualan dan penstrukturan semula pinjaman RM6.17 bilion (daripada Maybank Investment Bank pada 2012) yang patut dibayar November 2013, serta kegagalan membayar RM317 juta pembelian tanah daripada Tadmax Resources Berhad selepas tiga kali tertangguh, menunjukkan 1MDB memang bermasalah.

“Malah dengan hutang RM42 bilion, serta risiko besarnya kepada sistem kewangan negara ia menjelaskan (tindakan ini) untuk memastikan penyenaraiannya ke bursa saham, seterusnya meraih berbilion ringgit selepas itu.

“Rakyat kini menyaksikan ‘bail out’ terbesar dalam sejarah negara,” katanya dalam satu kenyataan.

1MDB dilaporkan dianugerah projek pembinaan beberapa janakuasa di seluruh negara, antaranya loji janakuasa gas turbin 2,000MW di Melaka dan 50mW photovoltaic solar kemudahan tenaga di Kedah.

Dana bon untuk bayar hutang

Terbaru anak syarikatnya, 1MDB Global Investments Limited menggunakan dana yang diraih melalui penjualan bon untuk membayar sebahagian hutang 1MDB, yang menyalahi ‘surat penawaran’ bagi bon tersebut.

“Pada 19 Mac lalu, 1MDB Global Investment mengeluarkan bon untuk meraih dana RM9.6 bilion.

“Menurut surat penawarannya, ia akan digunakan ‘sama ada untuk meminjamkannya kepada Abu Dhabi Malaysia Investment Company Limited (ADMIC) atau untuk mendanai pelaburannya dalam syarikat yang sama.

“Tidak disebut dalam dokumen 104 halaman itu bahawa ia boleh digunakan untuk tujuan lain,” katanya lagi.

Namun berdasarkan penyata kewangan terbaru 1MDB, sejumlah RM5.22 bilion (USD1.56 bilion) digunakan untuk pelbagai pelaburan, dan selebihnya digunakan 1MDB sebagai modal dan pembayaran hutang.

“Pemindahan RM3.88 bilion atau 42.7 peratus daripada danan itu untuk membantu 1MDB membayar hutang dan menanggung operasi jelas melanggar ‘surat penawaran’.

“Lebih penting, ia menunjukkan betapa terdesaknya 1MDB untuk menggunakan dana yang diraih anak syarikatnya sendiri. Adakah pelabur yang terlibat dengan bon itu diberitahu terlebih dahulu?” soal Pua.

Malah, kredibiliti 1MDB terjejas terutama ketika anak syarikatnya 1MDB Energy dijangka akan disenarai di bursa saham pada suku pertama tahun hadapan.

“Juga, adakah anggaran RM18 bilion yang bakal diraih 1MDB Energy daripada tawaran awam permulaan (IPO) juga akan dipindahkan kepada 1MDB untuk tujuan seumpama ini?” soal Pua. – Roketkini.com.