Berita

DUN Johor dicadang tubuh jawatankuasa tetap pengangkutan awam

NUSAJAYA, 17 NOV: Dewan Undangan Negeri Johor disaran menubuhkan Jawatankuasa Tetap Pengangkutan Awam bagi meneliti perancangan pengangkutan awam dengan lebih terperinci.

Dalam satu kenyataan bersama Pakatan Rakyat Johor, pengangkutan awam yang merupakan harta awam (public goods) berkualiti perlu disediakan di negeri ini, dan operasinya  tidak harus diswastakan sepenuhnya.

“Walaupun Menteri Besar mengumumkan bahawa unit pengangkutan awam akan ditubuhkan di semua PBT, tetapi setakat ini, hanya Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) sahaja yang telah menubuhkan unit tersebut.

“Pakatan Rakyat berpendapat tindakan diambil oleh kerajaan negeri dalam bidang pengangkutan awam masih kurang memuaskan malah terlalu perlahan,” kenyataan tersebut dipetik

Kenyataan tersebut dibaca bersama Pesuruhjaya Pas Johor yang juga ADUN Parit Yaani, Aminolhuda Hassan, Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong, Ketua Pembangkang DUN Johor, Dr Boo Cheng Hau dan wakil PKR Johor Steven Choong.

Selain itu, desentralisasi kuasa pengurusan pengangkutan awam, iaitu pengagihan peranan pentadbiran kepada pihak berkuasa tempatan perlu dilakukan segera kerana pegawai tempatan lebih memahami keperluan di satu-satu kawasan berbanding pegawai yang berpusat di Putrajaya.

Tambah kenyataan itu Johor juga wajar mencontohi pengalaman kerajaan Perak menubuhkan jawatankuasa pengangkutan awam, selain mengkaji sistemnya seperti dibuat  antaranya merujuk kepada sistem TransPerth di Australia

Dalam pada itu kerajaan negeri seharusnya berunding dengan pengurusan KTM bagi melancarkan perkhidmatan keretapi antara bandar di Johor yang menggunakan koc lama dengan harga tiket lebih rendah.

“Untuk pengangkutan di bandar peringkat kedua, sistem bas pengantara di semua bandar peringkat kedua seperti Muar, Batu Pahat, Kluang, Segamat, Kulai dan sebagainya perlu diperbaiki agar rangkaian tersebut lebih menyeluruh.

“Sistem bas transit  di wilayah Iskandar boleh dilaksana tanpa membina jalanraya baru, dan seharusnya disediakan selaras bas pengantara yang melalui kawasan perumahan berkepadatan tinggi,” tambah kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, untuk menyelesaikan isu kos akibat caj baru di Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) kerajaan negeri perlu meneliti cadangan membuka Tambak Johor untuk pejalan kaki.

“Kami percaya cadangan ini akan diterima baik oleh pihak Singapura termasuklah para pelancong serta pekerja-pekerja yang seringkali ulang-alik dari Johor Bahru ke Singapura.

“Pembinaan walkalator akan menggalakkan cara kehidupan yang lebih sihat dan penggunaan pengangkutan awam, bahkan walkalator juga akan turut memendekkan masa perjalanan untuk pejalan kaki,” kenyataan tersebut dipetik. – Roketkini.com