NUSAJAYA, 17 NOV: Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Dr Boo Cheng Hau mempersoalkan tindakan kerajaan negeri meluluskan 2,386 hektar Hutan Simpan Paya Bakau Sungai Pulai bagi tujuan pembangunan campuran termasuk kasino dan litar lumba F1.
Menurut Dr Broo, Hutan Simpan Paya Bakau Sungai Pulai mempunyai keluasan asal 9,126 hektar, namun hanya 6,740 hektar masih dalam proses diwartakan sebagai tapak Ramsar pada 31 Januari 2003 bernombor Ramsar 1288.
Dr Boo berkata, Hutan Simpan Paya Bakau Sungai Pulai dikatakan sebagai hutan bakau dan tanah lembap berstatus warisan paling luas di semenanjung Malaysia dan diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal semenjak tahun 1930.
“Tetapi selama ini kerajaan Johor belum mewartakan tapak Ramsar berkenaan sedangkan dilaporkan cuma 6,740 hektar akan diwartakan sebagai tapak Ramsar.
“Amat berisiko kepada masa depan anak Johor jika 2,386 hektar hutan bakau dibersihkan untuk apa-apa jenis pembangunan.
“Menurut UNDP (Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu) Johor akan kehilangan hasil perikanan sebanyak RM 1.7 billion setahun berasaskan kadar kerugian RM 710 ribu sehektar setahun,” kata Dr Boo dipetik dari ucapan perbahasannya di DUN Johor.
Kata Dr Boo, walaupun Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin awal tahun ini mengumumkan kerajaan begeri tidak akan meluluskan lesen kasino di Johor, namun difahamkan kawasan hutan simpan tersebut telah diluluskan kepada sebuah syarikat swasta untuk tujuan pembangunan campuran termasuk kondominium, Litar Lumba F1 dan kasino.
“Secara ikhlas saya memohon Menteri Besar dan kerajaan negeri supaya mengenalpasti maklumat sama ada pengurniaan hutan bakau simpanan sejak tahun 1930 untuk tujuan pembangunan seperti kasino dan litar lumba F1 adalah bijaksana.
“Saya mencadangkan pembangunan lestari disanjungi di mana kesan alam sekitar dan sosio-ekonomi sewajrnya dimaklumkan kepada Dewan ini, khasnya rasional menusnahkan hutan bakau simpan kekal dan tapak Ramsar untuk tujuan pembangunan,” tegas Dr Boo.
Tambahnya, kemusnahan habitat haiwan akuatik di wilayah selatan semenanjung Malaysia itu akan menjejaskan 30 peratus sumber laut Johor, bersamaan 12 peratus hasil perikanan seluruh Malaysia.
Dalam pada itu kata Dr Boo, projek Forest City di kawasan berdekatan turut merentasi kawasan laut sensitif termasuk padang rumpai laut Merambong di antara Pulau Merambong dan Link Kedua (38 hektar) padang rumpai laut Tanjung Adang (11.9 hektar) dan Hutan Bakau Simpanan Kekal Sungai Pulai
“Kepentingannya tidak dapat dinafikan. Oleh itu, industri perikanan dan alam sekitar perlu dipertahankan,” ujarnya. – Roketkini.com.