Berita

Malaysia tidak perlu alat pemenggal untuk hukum penjenayah

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Pilihan Pas Kelantan untuk menggunakan gilotin (alat pemenggal kepala) sebagai perkakas hukuman hudud di negeri itu adalah ‘tidak berperikemanusiaan’ dan ‘kejam’.

Ahli Parlimen DAP Kluang Liew Chin Tong berkata, amat mengecewakan apabila mendengar bahawa pilihan hukuman itu dicadangkan Timbalan Menteri Besar Datuk Nik Mohd Amar Abdullah.

“Saya tidak dapat memahami obsesi Nik Amar.

“Beliau sepatutnya menangani masalah negara melalui perbincangan, bukannya memaparkan secara grafik (alatan untuk) memotong tangan, tetapi kembali kepada isu sebenar, iaitu keadilan.

“Cadangan penggunaan gilotin perlu dihapuskan,” kata Chin Tong dalam satu kenyataan.

Jawatankuasa Teknikal Hudud Kelantan dilaporkan menghadapi kesukaran mencari kaedah paling sesuai untuk memotong anggota badan seseorang yang disabit kesalahan mencuri dan oleh itu, mini gilotin menjadi pilihan.

Gilotin satu ketika dulu pernah memenggal kepala beberapa tokoh dunia antaranya pejuang kesaksamaan gender era Revolusi Perancis Olympe de Gouges, pejuang anti-Nazi Sophia Magdalena Scholl dan Raja Perancis Louis XVI serta permaisurinya Marie Antoinette.

Nik Mohd Amar berkata, beliau akan mencadangkan kepada ahli panel agar menggunakan mesin yang tidak memerlukan pakar bedah, namun jawatankuasa itu masih memikirkan idea walaupun menerima reaksi negatif untuk mendapatkan pakar bedah bagi memotong kaki dan tangan pesalah.

Cadangan itu dikemukakan setelah Persatuan Perubatan Malaysia menolak menjadi sebahagian dari proses hukuman kerana menganggap melanggar ‘Hippocratic Oath’ (sumpah untuk menegakkan piawaian profesional dan pengamal perubatan secara etika).

Chin Tong yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP menegaskan, Malaysia sebagai negara yang berteraskan demokrasi sama sekali tidak memerlukan undang-undang sedemikian.

“Seperti mana-mana pemerhati hak asasi manusia, saya berkempen untuk menamatkan hukuman kejam seperti rotan dan hukuman mati.

“Sebab-sebab untuk tidak lagi menggunakan undang-undang yang kejam seperti itu pada dasarnya sudah diberitahu dan diperjelas berkali-kali,” ujarnya. -Roketkini.com