Rencana

Masalah Melayu, adalah masalah seluruh rakyat Malaysia – Lim Kit Siang

Menjelang Perhimpunan Agung Umno 24 dari 25 hingga November ini, retorik dan histeria kononnya ‘Melayu dan Islam sedang diancam’ semakin meningkat.

Sasterawan Negara A Samad Said menyatakan dengan tepat apabila beliau berkata di sebalik dakwaan meningkatnya ancaman terhadap masyarakat Melayu, kepimpinan negara masih kekal di tangan orang Melayu dan masih dipimpin parti yang mendakwa mewakili masyarakat Melayu.

Saya setuju dengan Pak Samad. Amat pelik melihat tuduhan Melayu sedang diancam sentiasa dimainkan, yang menyebabkan beliau menasihati masyarakat Melayu agar tidak terlalu obses dengan dakwaan tersebut.

Pak Samad telah melontarkan soalan yang paling relevan:

“Bagaimana orang Melayu boleh terancam? Bagaimana agama (Islam) dan Melayu diancam, apabila untuk lebih lima dekad mereka yang memegang kuasa adalah orang Melayu?

“Apa yang mereka pemimpin Melayu lalukan selama lima dekad ini jika benar Melayu di bawah ancaman?”

Tepat sekali kata-kata Pak Samad, dan saya tidak fikir ia boleh disangkal oleh sesiapa.

Jika kepimpinan Melayu Umno yang memimpin negara lebih lima dekad tidak dapat menjadikan masyarakat Melayu merasa selamat, maka ia patut menyerahkan kuasa kepada orang Melayu yang lain.

Mengapa hubungan kaum negara ini perlu dijadikan ‘tebusan’, setiap kali Umno mengadakan perhimpunan agung, menjadi bahan gembar-gembur pemimpin Umno tentang ‘mimpi ngeri Islam dan Melayu diancam’?

Yang sebenarnya terancam hanyalah kuasa politik dan survival  Umno.

Seperti kertas kerja memalukan yang dibentang bekas naib canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ibrahim Abu Shah, beliau memberi amaran bahawa ‘jika Umno tewas, Melayu tidak akan memegang kuasa lagi, bersama ancaman kononnya masa depan Melayu akan menjadi ‘gelap dan malang’

Ataupun, kenyataan perkauman, tersembunyi yang tidak bertanggungjawab oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Ahmad Shabery Cheek, mendakwa orang Melayu tidak dialu-alukan di Pulau Pinang yang ditadbir Pakatan.

Kesemua enam Perdana Menteri sejak kemerdekaan negara adalah orang Melayu – Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein, Tun Mahathir, Tun Abdullah dan kini Datuk Seri Najib Razak.

Adakah mereka, atau salah seorang daripadanya, mengkhianati orang Melayu ketika menjadi Perdana Menteri hingga menyebabkan Melayu dan Islam masih diancam selepas 57 negara Merdeka

Daripada keenam-enamnya, Tun Mahathir memegang kuasa paling lama – 22 tahun 3 bulan, berbanding Tunku (13 tahun), Tun Razak (5 tahun 4 bulan), Tun Hussein (5 tahun 6 bulan), Abdullah (5 tahun 5 bulan), dan Najib (5 tahun 7 bulan).

Sebagai Perdana Menteri paling lama, adakah Mahathir menggalas tanggungjawab terbesar tentang mengapa Melayu dan Islam masih dibawah ancaman pada tahun 2014?

Mungkinkah perwakilan Umno, serta orang ramai amnya, akan diberikan senarai semak tentang kegagalan setiap Perdana Menteri sejak 57 tahun yang lalu untuk memartabat  Melayu dan Islam, dan menyebabkannya diancam sehingga kini?

Jika Melayu dan Islam diancam, ia bukan sekadar melibatkan orang Melayu dan Islam, tetapi semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Ini kerana kita semua adalah rakyat Malaysia, inginkan negara makmur yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama

Rakyat Malaysia yang patriotik tidak ingin Melayu dan Islam diancam, seperti mana kita tidak mahu kaum lain, sama ada Cina, India, Kadazan, Iban, Orang Asli, atau pun penganut Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoism diancam.

Jika orang Melayu dan Islam sedang diancam, ia menjadi tanggungjawab oleh semua orang bukan-Melayu dan bukan-Islam, begitu juga isu dihadapi orang Cina, India, Kadazan, Iban, Orang Asli. Ataupun isu penganut Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoism juga wajar menjadi tanggungawab semua orang Melayu dan Islam di negara ini!

Saya ingin mencadangkan agar Parlimen dilanjutkan selama tiga hari, bagi perbahasan penuh tentang ‘Adakah Melayu dan Islam sedang diancam?’

Kita mesti membina Malaysia di mana Melayu dan Islam tidak diancam – seperti mana bukan-Melayu dan bukan-Islam tidak diancam.

Jika tidak, Malaysia akan gagal menunaikan ikrar Perlembagaannya bagi mewujudkan negara demokratik yang bebas dan berdaulat, berasaskan kebebasan dan keadilan di mana ‘Islam adalah agama Persekutuan, dan agama lain boleh diamalkan secara aman, sebagai negara yang mempertahan dan menegakkan keamanan dan keharmonian rakyat, serta mengekalkan kedamaian dengan negara lain. – Roketkini.com