Berita

Najib perlu bentang semakan semula Belanjawan 2015

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu membentangkan semakan semula Belanjawan 2015 dengan mengambil penurunan harga minyak mentah yang dijangka menjejaskan pendapatan kerajaan.

Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong berkata, Najib perlu menerangkan langkah dilakukan kerajaan berdepan tiga situasi penurunan harga minyak mentah dunia

“Apa pelan luar jangka kerajaan, misalnya harga minyak pada kadar USD80 (RM267.40), USD70 (RM233.90) atau pun USD60 (RM200.50) setong.

“Sesiapa saja yang mengikuti berita kewangan antarabangsa pasti bersetuju bahawa kita akan bergelut dengan senario ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Chin Tong merujuk The Edge Weekly yang melaporkan, bagi setiap USD1 penurunan harga setong minyak mentah, kerajaan bakal kehilangan pendapatan kira-kira RM650 juta.

“Dalam kata lain, penurunan harga minyak mentah sebanyak USD25 (dari USD105 anggaran 2015) kepada USD80 setong akan mengakibatkan pengurangan hasil sebanyak RM16.25 bilion.

“Pada USD70 setong, bermakna kerugian adalah RM22.75 bilion (8.3 peratus), untuk USD60 pula kerugiannya sebanyak RM29.25 bilion (10.6 peratus).

Kerajaan sebelum ini telah menganggarkan pendapatan 2014 dengan harga minyak mentah pada USD110 (RM367.60) dan USD105 (RM351) setong untuk tahun 2015.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong di Parlimen minggu lalu mendakwa trend penurunan harga minyak mentah hanya memberi kesan minima pada defisit 2014, dan puratanya tidak jauh daripada anggaran asal serta ‘boleh dikurangkan dengan subsidi bahan api rendah’.

“Chua menyatakan kerajaan tidak dapat memberi anggaran harga minyak mentah bagi tempoh beberapa minggu dan bulan akan datang kerana tidak tahu sama ada ia menurun atau kekal.

“Dia salah. Kerajaan dan Najib harus memiliki pelan kemungkinan serta semakan semula belanjawan kerana harga minyak mentah sudah di bawah USD80 setong pada USD79.41 Jumaat lalu,” tegasnya. – Roketkini.com