Berita

DAP bidas menteri penjaga integriti pertahan sistem ‘rundingan terus’

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Tony Pua membidas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low yang mempertahankan tindakan kerajaan mengamalkan sistem ‘rundingan terus’ – tanpa perlu tender terbuka bagi projek kerajaan.

Ketika mengulas tentang kontroversi projek insinerator semalam, Low yang juga bekas pengerusi Transparency-International Malaysia dilaporkan berkata amat sukar untuk kerajaan melaksanakan sistem tender terbuka, dan ia mengambil masa yang lama sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya.

Terkejut dengan alasan itu, Pua menyifatkan Low yang sebelum ini seorang tokoh yang sering ‘berkhutbah’ tentang ketelusan dan tadbir urus yang baik telah menyerah kalah sepenuhnya kepada sistem kotor Barisan Nasional.

“Dahulu (sebelum menjadi menteri), Low pasti tanpa ragu-ragu akan menentang amalan rundingan terus ini. Kini beliau tidak cuba pun berpura-pura menunjukkan komitmen kerajaan melawan rasuah dan pembaziran.

“Kini beliau menjadi pembela sistem BN. Beliau sendiri telah di’transformasi’ oleh BN,” kata Pua dalam satu kenyataan.

Low mengemukakan alasan membela kerajaan BN itu berikutan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) berkenaan pengurusan teruk empat projek insinerator oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Parlimen minggu lalu.

Laporan tersebut menyatakan wujudnya unsur rasuah dalam pemberian lima projek insinerator, iaitu di dua buah di Pulau Langkawi, Cameron Highlands, Pulau Pangkor dan Labuan.

Laporan itu juga menyatakan kementerian gagal melaksanakan tanggungjawab dalam memilih kontraktor XCN Technology Sdn Bhd yang tidak memiliki rekod yang baik, selain mencadangkan tindakan diambil terhadap lima pegawai, termasuk Setiausaha Kementerian dan Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara.

Dalam pada itu, Pua berkata, Low perlu menilai kembali peranannya yang sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam soal ketelusan dan integriti yang dilantik selepas pilihanraya umum yang lalu.

“Low kini seperti kata pepatah Melayu, ‘Masuk ke dalam kandang kambing mengembek, masuk ke dalam kandang kerbau menguak’.

“Beliau perlu melihat cermin untuk menilai kembali perjalanannya, sama ada perjalanannya sebagai pejuang ketelusan dan tadbir urus yang baik telah pun berakhir,” katanya lagi. – Roketkini.com