Berita

Menteri hantar anak sekolah ke luar negara, bukti pendidikan negara bermasalah

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang mencabar semua Menteri Kabinet agar mendedahkan apakah anak dan cucu mereka mendapat pendidikan di bawah sistem pendidikan negara atau swasta dan luar negara.

“Inilah masanya untuk semua 33 Menteri Kabinet mendedahkan sama ada mereka telah menghantar anak dan cucu belajar di sekolah swasta dan antarabangsa, di dalam atau di luar negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir yang memberi amaran bahawa jurang perbezaan sosial ekonomi negara akan melebar jika kebanyakan orang kaya menghantar anak-anak mereka belajar Bahasa Inggeris di sekolah antarabangsa dan di luar negara manakala golongan miskin terus tertinggal di sekolah kebangsaan mahupun vernakular.

Menurutnya, Mahathir sebenarnya tidak mendedahkan sebarang rahsia apabila mengatakan bahawa menteri-menteri menghantar anak-anak mereka ke sekolah swasta dan antarabangsa.

Malah hal ini sebenarnya ibarat sebuah rahsia terbuka.

“Fenomena ini bukan baru bermula sekarang, tapi telah merebak semenjak era pemerintahan 22 tahunnya (Mahathir) dari 1981 hingga 2003.

“Apakah Mahathir sendiri tidak menyedari bahawa menterinya sendiri telah menghantar anak-anak mereka ke sekolah swasta dan antarabangsa, sama ada di dalam atau di luar negara, sekaligus menunjukkan kurangnya keyakinan terhadap dasar pendidikan negara?

Ahli Parlimen Gelang Patah itu menegaskan, pendidikan juga merupakan salah satu faktor penting mengapa para pengundi menentang Umno-BN dalam Pilihanraya Umum ke 13 (PRU 13) lalu, yang akhirnya mengakibatkan pembentukan kerajaan minoriti kali pertama dalam sejarah negara.

Katanya, ia terbukti apabila bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah sendiri telah mengeluh bahawa Malaysia tidak mendapat sebarang manfaat walaupun telah mencurah berbilion ringgit ke dalam sistem pendidikan.

“Malaysia mungkin telah masyhur kerana menghabiskan sebahagian besar perbelanjaan untuk pendidikan dari segi nisbah Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK) tetapi mempunyai kadar keyakinan terendah terhadap sistem pendidikan di kalangan kepimpinan kerajaan termasuk Menteri serta Timbalan Menteri,” tegasnya.

Sehubungan itu, Kit Siang menyarankan Umno agar menjadikan isu ini sebagai perkara utama yang perlu dibincangkan dalam Perhimpunan Agung parti itu nanti.

“Malaysia menduduki tangga ketiga terbawah dalam penilaian antarabangsa dan tidak membuat apa-apa langkah penting berbanding negara-negara lain tetapi berterusan melancarkan serangan politik perkauman termasuk ancaman menutup sekolah-sekolah rendah Cina,” ujarnya. – Roketkini.com