Berita

Isu 1MDB, mengapa saya yang perlu minta maaf? – Tony Pua

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata tiada sebab untuknya meminta maaf hanya kerana membangkitkan kesalahan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta dua anak syarikatnya yang tidak melaporkan penyata kewangan mengikut jadual.

Beliau membalas desakan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan agar beliau meminta maaf kononnya kerana ‘mengelirukan’ Dewan Rakyat berhubung isu itu, selain beberapa kali mengugut membawanya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

“Jika saya memberikan fakta salah, tentu Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong menyangkal hujah dan membetulkan saya. Namun, beliau enggan menjawab satu pun soalan saya tentang 1MDB,” katanya dalam satu kenyataan.

Pua merujuk tindakan Chua 11 November lalu, yang enggan menjawab soalan dibangkitkannya menyebabkan kekecohan antara Ahli Parlimen Pakatan dan BN.

Malah katanya, Ahmad Maslan yang mengelirukan Dewan, sehingga terpaksa meminta maaf kerana ‘kekurangan enam perkataan’ dalam kenyataannya berhubung surat sokongan kerajaan bagi pinjaman 1MDB.

Pengerusi DAP Selangor itu sebelum ini berulangkali membangkitkan kegagalan 1MDB, 1MDB Real Estate Sdn Bhd dan 1MDB Energy (Langat) melaporkan penyata kewangan tahunan dalam sesi perbahasan di Parlimen dan sidang media.

Kata Pua lagi, beliau konsisten membangkitkan isu itu kerana tindakan 1MDB dan anak syarikatnya jelas melanggar Akta Syarikat 1965.

Seksyen 169 (1) Akta Syarikat menyatakan sesebuah syarikat perlu membentangkan penyata kewangan dalam mesyuarat agung tahunannya sekurang-kurangnya sekali dalam setiap tahun, dan boleh dihukum penjara lima tahun atau denda RM30,000 mengikut Seksyen 171 (1) akta sama jika tidak berbuat demikian.

“Semalam, saya sekali lagi meminta penyata kewangan daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Sekali lagi saya membazir RM15, kerana maklumat yang ada tidak berubah – tiada akaun difailkan sejak Mac 2012.

“Ini adalah isu penting dan saya akan sekali lagi membangkitkanya pada perbahasan peringkat Jawatankuasa bagi Kemeterian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-ehwal Pengguna, berhubung kegagalan ini.

Pua juga mencabar Ahmad Maslan agar mengulang tuduhan kononnya beliau mengelirukan Parlimen di Dewan Rakyat nanti.

“Mungkin jika beliau mengulangi tuduhan (Pua mengelirukan Dewan), kita boleh membawanya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen,” katanya lagi. – Roketkini.com