Berita

Loji janakuasa nuklear akan dibina di Johor?

NUSAJAYA, 19 NOV: Ahli Dewan Undangan Negeri Jementah Tan Chen Choon meminta kerajaan Johor memberi penjelasan sama ada loji janakuasa nuklear akan dibina di negeri ini.

Tan merujuk laporan ahli akademik dari sebuah universiti di Johor yang kini menjalankan kajian terhadap kesesuaian lokasi-lokasi bagi pembinaan loji janakuasa tenaga nuklear di negeri ini pada tahun 2012.

Ujar Tan,  Ogos lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mah Siew Keong membuat kenyataan bahawa satu penggubalan berkenaan rang undang-undang Kawal Selia Tenaga Atom di peringkat draf dan akan dibentangkan di Parlimen hujung tahun ini.

Bakan lebih awal pada Julai lalu, Mah turut menyatakan bahawa kerajaan sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan berhubung cadangan membina loji janakuasa tenaga nuklear dalam tempoh 10 tahun.

“Kajian komprehensif itu merangkumi aspek penerimaan masyarakat, input daripada pakar dan pertubuhan bukan kerajaan akan dibentangkan kepada kabinet selepas laporan berkenaan disediakan,” kata Tan dalam ucapan perbahasan di DUN Johor semalam.

Kata Tan, walaupun Ketua Pengarah Agensi Nuklear menyatakan pembinaan loji janakuasa nuklear ditangguhkan, tetapi kenyataan Menteri menunjukkan niat dan memberi gambaran bahawa kerajaan bersedia untuk melaksanakan rancangan membina loji janakuasa nuklear.

Tambah Tan, difahamkan pembinaan loji janakuasa nuklear memakan belanja RM21.3 billion seperti diumumkan kerajaan pada Jun 2010 sebagai permulaan pelaksanaan Program Transformasi Ekomomi (ETP)

“Pada masa itu, dilaporkan tujuh lokasi dipertimbangkan untuk pembinaan loji janakuasa nuklear iaitu satu di Kedah, dua di Perak, Terengganu dan Johor masing-masing menjelang tahun 2021 dan 2022,” kata Tan.

“Jementah menyeru kerajaan negeri dengan bidang kuasanya sedia ada dapat menegur kerajaan Pusat dan membatalkan sebarang rancangan pembinaan loji janakuasa nuklear di Johor,” tegas Tan.