Berita

Sama seperti 1MDB, PFI lewat lapor penyata kewangan

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Pembinaan PFI Sdn Bhd (PFI) mengikut jejak syarikat milik Kementerian Kewangan yang lain seperti 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan SRC International, apabila masih belum memfailkan penyata kewangan untuk tahun 2013.

Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming berkata, semakannya mendapati setakat 11 November 2014, PFI masih belum memfailkan penyata kewangan 2013 yang sepatutnya dihantar lima bulan lalu.

“Adakah ia cuba menyembunyikan bebanan syarikat yang semakin membesar untuk tahun 2013?” kata Kian Ming dalam satu kenyataan.

Ia berikutan peningkatan bebanan syarikat pada tahun sebelumnya seperti ditunjukkan dalam maklumat kewangan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Dalam dokumen itu, bebanan PFI berjumlah RM19.9 bilion pada 2011, meningkat mencecah RM27.9 bilion pada 2012.

Justeru itu, beliau menggesa Kementerian Kewangan menjelaskan punca kelewatan, serta sebab kerajaan menyalurkan wang kepada syarikat yang tidak diketahui itu.

“Saya menyeru Kementerian mengeluarkan kenyataan menjelaskan kelewatan ini. Kementerian juga perlu menjelaskan mengapa perbelanjaan kerajaan disalurkan kepadanya,” kata Kian Ming.

Beliau memetik Laporan Ketua Audit Negara 2013 yang menyebut PFI sebagai syarikat milik kerajaan memiliki bebanan ketiga tertinggi, selepas Petronas dan Khazanah dengan jumlah RM27.9 bilion.

PFI ditubuhkan untuk mendapatkan pembiayaan bagi projek kerajaan, dan semakan fail mendapati kesemua pinjamannya diperolehi daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Semalam Kian Ming mendedahkan, kerajaan melalui perjanjian meragukan menyewa 186 plot tanah milik kerajaan sendiri di seluruh Malaysia dengan jumlah RM29.2 bilion dan dibayar kepada kepada Pembinaan PFI. – Roketkini.com