Berita

Sedarlah Shabery Cheek, kemiskinan adalah masalah semua kaum

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari meminta Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek agar berhenti melihat masalah kemiskinan sebagai isu perkauman, kerana hakikatnya ia adalah masalah semua.

Beliau membalas kenyataan Shabery semalam, yang menuduhnya bersifat perkauman kerana menyatakan kemiskinan orang Melayu di Pulau Pinang berpunca daripada 50 tahun pemerintahan BN di negeri itu, tanpa menyebut kejayaan orang Cina di bawah pemerintahan yang sama.

Ia berikutan dakwaan Shabery yang kononnya orang Melayu kini tidak dialu-alukan di Pulau Pinang, yang dirujuknya sebagai ‘sebuah negeri di utara yang ditadbir pembangkang’.

“Kemiskinan adalah masalah Malaysia,” katanya yang terkejut dengan kegagalan menteri Umno tersebut memahami maksud kenyataannya. Shabery malah menuduhnya ‘berat sebelah’ dan ‘rasis’.

“Malah beliau menunjukkan sika perkaumannya dengan mengatakan mengapa saya tidak menyebut kejayaan orang Cina. Kenyataan sebegitu adalah lumrah bagi menteri Umno dan BN yang gagal memahami kemiskinan bukanlah masalah perkauman,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau memetik dapatan daripada buku The Colour of Inequality: Ethnicity, Class, Income and Wealth in Malaysia oleh pakar ekonomi Dr Muhammed Abdul Khalid.

Kata Zairil lagi, buku itu menunjukkan dua per tiga daripada pekerja Malaysia berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan, dan 90 peratus rakyat hampir tidak memiliki sebarang simpanan.

“Realiti menyakitkan ini menunjukkan rakyat daripada semua kumpulan etnik sekadar kais pagi makan pagi,” katanya lagi.

Beliau turut memetik hasil Kaji Selidik Upah dan Gaji 2013 oleh Jabatan Statistik, yang menunjukkan gaji median bagi Bumiputera adalah RM1,600 sebulan, manakala bagi kaum Cina pula tidak jauh berbeza iaitu RM2,000 dan India pula RM1,500.

“Maknanya, gaji median bagi ketiga-tiga etnik utama negara berada pada tahap RM2,000 ke bawah, lantas melayakkan mereka sebagai golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Lebih menyedihkan, katanya lagi, jurang pendapatan di Malaysia adalah terbesar di Asia Tenggara.

“Ramai tidak sedar jurang pendapatan kaum Cina adalah terbesar dari segi nominal berbanding kaum lain. Selain hartawan Cina yang sering kita dengar, ada majoriti besar orang Cina yang berpendapatan rendah, sama dengan rakan-rakan mereka yang lain,” katanya lagi.

Hanya kroni semua kaum yang kaya-raya

Namun, katanya lagi, hakikat yang tidak dapat disangkal di negara ini adalah sebilangan kecil rakyat tanpa mengira kaum yang kaya-raya kerana layanan istimewa daripada BN.

“Mereka mendapat layanan khas melalui penganugerahan tender, kontrak lumayan dan konsesi menguntungkan. Golongan istimewa ini dikenali sebagai kroni, dan mereka tidak terpisah mengikut kaum.

“Jika kerajaan BN ingin diiktiraf kerana berjaya mengkayakan mana-mana golongan, maka mereka inilah yang berjaya dikayakan,” katanya lagi. – Roketkini.com