Berita

Tangguh GST, Najib perlu belajar dari kesilapan Jepun

KUALA LUMPUR, 19 NOV: DAP meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menangguhkan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan mengambil contoh masalah besar dihadapi Jepun selepas pengenalan cukai jualan.

Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong berkata, kini terdapat elemen baru bagi dasar ‘Pandang Ke Timur’ iaitu dengan tidak mengulangi kesilapan Jepun memperkenalkan cukai ketika ekonomi berada dalam keadaan rapuh.

“Kedua-dua negara bergantung ekonominya kepada penggunaan domestik, dan apabila dikenakan cukai ia akan mengambil pendapatan boleh guna yang tidak seberapa dari pengguna biasa sekaligus tidak menggalakkan penggunaan.

“Memandangkan bencana dari kenaikan cukai jualan Jepun, Najib harus melakukan perkara terbaik dengan mengambil iktibar dari kesilapan negara Matahari Terbit itu untuk menangguhkan pelaksanaan GST,” kata Chin Tong dalam satu kenyataan.

Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe semalam mempertimbangkan mengadakan pilihanraya lebih awal selepas data suku ketiga 2014 menunjukkan kadar pertumbuhan adalah negatif akibat kenaikan cukai jualan kebangsaan daripada 5 peratus kepada 8 peratus pada April.

Kenaikan cukai tersebut mengurangkan perbelanjaan pengguna dan memadam potensi pertumbuhan ekonomi yang kini sudah pun dalam keadaan lemah.

“Ini merupakan perkara mengejutkan untuk Jepun apabila kenaikan cukai jualan pada bulan April boleh merosakkan ekonomi.

“Sebab itu Abe mempertimbangkan untuk mengadakan pilihanraya awal untuk mendapat mandat baru bagi menangguhkan kenaikan cukai jualan kedua daripada 8 peratus kepada 10 peratus, yang dijadual dilaksana 2015 nanti.

“Semoga Najib menjadikan masalah ini sebagai pengajaran dan menangguhkan GST,” kata Chin Tong. – Roketkini.com