Rencana

Tiga cabaran DAP

“DAP adalah parti cina!” kata Ah Choi, seorang penjaja kecil berbangsa Cina. Dia berusia 60 tahun. Pada masa yang sama, Ah Choi mengatakan bahawa dia sudah bersama dengan perjuangan DAP semenjak tahun 70an. Kata-kata ini dirakam di dalam temubual Astro Awani semasa pilihanraya kecil Teluk Intan 2014.

Jika kita tidak pernah mendekati DAP – pasti kita anggap kata-kata Ah Choi adalah sebuah realiti. Seorang cina menganggap DAP adalah parti cina. Maka kita setuju bahawa DAP adalah parti Cina.

Projek pembodohan yang dimulakan oleh UMNO terhadap DAP selama berdekad-dekad pasti meninggalkan kesan yang pahit. Bagi majoriti rakyat Malaysia, DAP adalah parti Cina. Noktah!

Kita lupa bahawa DAP secara prinsipnya adalah parti berbilang kaum. Asas pegangan DAP yang tercatat di dalam Deklarasi Setapak 1967 tidak pernah berubah sehingga kini. DAP berjuang untuk menegakkan demokrasi di bumi Malaysia.

Bagi sebuah parti politik yang mengamalkan idealogi demokrasi sosial, DAP adalah parti yang tidak memandang kaum. DAP berjuang untuk rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama. Sebagai sosial demokrat, DAP merupakan parti yang signifikan di dalam pembentukan politik baru di Malaysia.

Saya tertarik dengan kenyataan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang yang menyeru diadakan sidang parlimen untuk membahaskan masalah orang Melayu dan Islam. Dalam kenyataan itu, Lim Kit Siang mengulangi pendirian DAP untuk bersama mempertahankan hak dan keadilan setiap rakyat Malaysia.

Dengan nada tegas, Kit Siang mengungkapkan, “Masalah orang Melayu adalah masalah kita!”

Namun, tidak mudah untuk memusnahkan hegemoni yang ditanam UMNO-Barisan Nasional yang memfitnah DAP sebagai parti perkauman semenjak lebih 4 dekad. UMNO begitu takut dengan DAP. Ini kerana DAP adalah musuh utama UMNO dari segi membebaskan minda.

UMNO akan hilang relevan sebagai sebuah parti politik berasaskan kaum, jika hasrat DAP untuk memecahkan politik perkauman berjaya. Di samping itu, DAP berhadapan tiga cabaran besar untuk melebarkan demokrasi di Malaysia.

Cabaran 1: Untuk tidak menjadi MCA 2.0

Penulis tertarik mengupas idea yang dikemukakan oleh penulis Wan Hamidi Hamid yang menekankan bahawa DAP bukan MCA 2.0 kerana ia berteraskan kepada peluang dan hak saksama setiap rakyat. DAP bukan parti untuk orang Cina. Mereka bermula dengan cita-cita melahirkan bangsa Malaysia, walaupun terpaksa berhadapan dengan rintangan dalam memperjuangkan demokrasi. DAP juga telah menjadi mangsa kerakusan politik perkauman di bawah pemerintahan UMNO.

Ramai pemimpin mereka ditangkap semasa Operasi Lalang 1987. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pernah dipenjarakan kerana membela seorang anak Melayu yang mendakwa dirinya dirogol seorang tokoh politik kenamaan Malaysia.

DAP menawarkan agenda kesaksamaan buat semua kaum. Jika kita telaah tulisan pemimpin mereka yang terdahulu sehingga sekarang, dasar  dan prinsip mereka tetap konsisten. DAP komited memperjuangkan nasib rakyat Malaysia untuk sebuah demokrasi yang matang dan murni.

Hatta, cabaran utama DAP adalah untuk membetulkan pandangan bahawa DAP bukan parti cina, bukan parti MCA yang menetapkan syarat keahlian mestilah berbangsa Cina.

Cabaran 2: Mematahkan dakyah tentang sekularisme

Propaganda berterusan UMNO-Barisan Nasional berjaya menguatkan keyakinan masyarakat Melayu bahawa DAP adalah anti Islam.  Pandangan ini bukan sahaja meleset, tetapi  berupaya memanjangkan fitnah yang terhadap DAP.

DAP tidak pernah menolak Islam. Ya benar. DAP adalah parti demokrasi sekular. Kita sering dimomokkan bahawa sistem politik demokrasi sekular adalah sistem yang anti-Islam, tanpa mengkaji apa itu sekular.

Demokrasi sekular tidak bermakna anti Islam, tetapi sekular adalah sistem politik yang memisahkan agama daripada politik supaya agama kekal suci dan tidak digunakan untuk kepentingan politik dan peribadi.

Mungkin kita perlu mengkaji bagaimana sistem sekular membantu masyarakat Islam di Amerika dan Eropah mendapat dokongan dan pengiktirafan masyarakat Barat.

Kerana adanya sistem sekular di Amerika Syarikat, Islam dapat tersebar melalui mesej toleransi dan kedamaian. Islam semakin mendapat tempat di bawah sistem sekular di Amerika Syarikat.

DAP mengulangi pendirian bahawa ia akan memperjuangkan kebebasan beragama di Malaysia. Ini penting di dalam sebuah negara yang berbilang kaum. Kebebasan beragama adalah intipati ke arah proses pembinaan demokrasi di negara ini.

Islam tetap akan mendapat tempat kerana DAP komited untuk membuka ruang untuk Islam dan agama-agama lain tidak didiskriminasi kerana orientasi agama.

Cabaran 3: Menyantuni anak muda

Salah satu cabaran terbesar DAP adalah untuk meyakinkan anak muda bahawa ia adalah parti masa hadapan. Anak muda selalunya punyai idealisme yang besar.

Cabaran DAP adalah untuk menjambatani ruang di antara generasi lama dan baharu. DAP  harus berani merentasi zaman. Jadi, DAP sanggup mengambil risiko untuk menempatkan pemimpin-pemimpin muda mereka di barisan hadapan perjuangan. Untuk menjadi sebuah parti untuk masa hadapan, DAP harus memulakan gerakan mengangkat kepimpinan muda di dalam parti mereka sendiri.

Dyana Sofya, Young Syefura dan Melati Rahim merupakan usaha DAP untuk mendekatkan orang muda dengan DAP. Usaha ini baik, sekalipun banyak yang perlu diperbaiki. Kekuatan DAP dilihat pada kesungguhan mereka untuk mengangkat agenda anak muda di peringkat nasional.

Dalam Pilihanraya Umum ke-13 dan sebelum itu Pilihanraya Negeri Sarawak, DAP meletakkan ramai calon yang berumur kurang dari 30 tahun berbanding parti-parti lain. Ya walaupun kepimpinan DAP agak “berumur”, ia sentiasa membuka peluang untuk muka baru yang layak dan berbakat.

Tiga cabaran ini jika dapat ditangani dengan baik, penulis yakin DAP akan terus maju jaya di dalam politik Malaysia. – Roketkini.com