Berita

Pakatan Rakyat Johor desak pilihanraya kerajaan tempatan dikembalikan

NUSAJAYA, 20 NOV: Pakatan Rakyat (PR) Johor berpendirian bahawa Akta Kerajaan Tempatan 1976 mesti dipinda untuk mengembalikan semula sistem pilihanraya kerajaan tempatan bagi memilih ahli majlis PBT sekaligus mengembalikan suara rakyat di peringkat kerajaan tempatan.

Dalam satu kenyataan bersama, PR Johor mendesak Menteri Besar Datuk Seri Khaled Nordin merealisasikan makna sebenar ‘pembangunan inklusif’ seperti yang disebutnya dalam ucapan belanjawan 2015.

“Kami tidak pernah dijemput ke mana-mana mesyuarat mingguan atau bulanan PBT. Sekurang-kurangnya, kami sepatutnya dijemput dalam mesyuarat dan diberi kebebasan untuk memberikan pandangan dalam hal ehwal yang melibatkan penduduk dalam kawasan kami.

“Tanpa akses kepada mesyuarat dan perbincangan di peringkat PBT akan merencatkan tugasan kami untuk berkhidmat kepada penduduk di kawasan kami.

“Isu ini melibatkan kebertanggungjawaban kerana rakyat menaruh harapan tinggi kepada wakil rakyat mereka untuk menyelesaikan permasalahan yang dihadapi,” tegas kenyataan tersebut.

Kenyataan tersebut dibaca bersama Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Kluang, Pesuruhjaya Pas Aminolhuda Hassan yang juga ADUN Parit Yaani, Ketua Pembangkang DUN Dr Boo Cheng Hau dan wakil PKR Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Kenyataan itu turut menyatakan wakil rakyat Pakatan Rakyat di negeri ini yang mendapat mandat daripada pengundi dalam pilihan raya ke-13 masih tidak dapat mengambil bahagian dalam proses perbincangan dan membuat keputusan di bahagian PBT.

Sedangkan, kerajaan tempatan merupakan bahagian paling dekat dengan rakyat dan orang awam dan kebanyakan masalah atau isu harian yang dihadapi terhimpun dibawah bidangkuasa PBT.

“Sebagai wakil rakyat yang dipilih dalam pilihanraya, kami tidak dapat mengambil bahagian dalam isu dan masalah yang berkaitan dengan pengundi kami.

“Jelas dengan tindakan yang tidak melibatkan wakil rakyat PR dalam perbincangan di peringkat PBT, perkataan inklusif ini tidak bermakna dan hanyalah retorik semata-mata.

“Pada masa yang sama pihak yang dilantik untuk membuat keputusan terhadap isu-isu tempatan dilantik dan tidak langsung mempunyai mandat dari rakyat.

“Sistem pelantikan yang digunapakai sekarang jauh dari aspek kebertanggungjawaban.

“Rakyat yang sepatutnya memutuskan siapa yang sesuai dan layak untuk menjadi Ahli Majlis dan bukannya oleh pihak lain. Sudah terlalu lama, rakyat dinafikan hak ini oleh kerajaan,” tegas kenyataan tersebut. – Roketkini.com.