Berita

Wanita Pakatan kecam cubaan bunuh Shukria Barakzai, pejuang wanita Afghanistan

KUALA LUMPUR, 20 NOV: Sayap Wanita DAP, PKR dan Pas hari ini sebulat suara mengecam cubaan membunuh Ahli Parlimen dan pejuang hak wanita Afghanistan Shukria Barakzai Ahad lalu.

Cubaan bunuh itu dibuat melalui serangan bom berani mati ketika beliau dalam perjalanan menuju bangunan Parlimen.

Serangan tersebut meragut tiga nyawa, namun Shukria dilaporkan mengalami kecederaan ringan.

“Dengan sebulat suara kami mengecam sekeras-kerasnya percubaan membunuh Ahli Parlimen dan pejuang hak wanita terkemuka Afghanistan Shukria Barakzai,” kata Wanita Pakatan dalam satu kenyataan.

“Barakzai dan ramai lagi pegawai wanita di Afghanistan telah menjadi sasaran pemberontak hanya kerana mereka berjuang memastikan hak rakyat, terutama wanita dan kanak-kanak tidak dicabuli,” tegas kenyataan itu lagi.

Kenyataan tersebut turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga tiga mangsa yang terbunuh dalam serangan yang disyaki sebahagian daripada penentangan terhadap kerajaan negara itu.

Wanita Pakatan turut melahirkan rasa bimbang terhadap keadaan di negara itu, terutamanya keselamatan pemimpin wanita yang diancam kumpulan ekstremis hanya kerana memiliki fahaman politik yang berbeza.

“Kerajaan Afghanistan perlu mengambil langkah melindungi rakyat, pemimpin serta penguatkuasa undang-undang di sana,” tambah kenyataan tersebut.

Golongan wanita dilaporkan antara kumpulan yang sering didiskriminasi di Afghanistan.

Malah, seorang Ahli Parlimen di negara itu melobi agar kuota 25 peratus calon wanita dalam pilihanraya diturunkan kepada 20 peratus.

“Selama lebih 35 tahun, sebanyak pencabulan hak asasi berlaku. Kami mendesak keadilan diberikan kepada keluarga mangsa yang terkorban.

“Kerajaan Afghanistan juga perlu memainkan peranan lebih agresif, antaranya bagi melaksanakan reformasi institusi.

“Kami menyokong penguatkuasaan undang-undang penghapusan Keganasan Terhadap Wanita (EVAW) dan memberi ingatan kepada kerajaan Afghanistan melaksanakan Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita CEDAW.

“Jangan takut Shukria Barakzai, suara anda adalah suara harapan sebuah negara yang cuba dilumpuhkan oleh ekstremis. Teruskan perjuangan anda,” kenyataan tersebut dipetik. – Roketkini.com.