Berita

BN Pulau Pinang lulus projek D’Residence, PR pula dipersalahkan

GEORGE TOWN, 21 NOV: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mencabar Ketua Pembangkang Negeri Datuk Jahara Hamid untuk membangkitkan semula projek pembinaan D’Residence dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.

Katanya, tuduhan Jahara bahawa kerajaan negeri bertanggungjawab dalam projek perumahan mewah di Bayan Mutiara itu kerana ia dimajukan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) adalah tidak benar sama sekali.

“Saya cabar beliau bawa semua bukti yang ada, untuk kita bincang dan bahas perkara ini semula.

“Saya telah berjumpa dengan pihak PDC dan bertanya tentang D’Residence, mereka sendiri mengatakan bahawa ia diluluskan kerajaan sebelumnya dan kerajaan negeri PR tidak ada sangkut paut dalam hal ini.

“Itulah faktanya. Sebab itu saya katakan dalam Sidang DUN saya tidak tahu mengenai harga perumahan tersebut kerana ia dibuat oleh BN.

“Semuanya diluluskan pada 2007 dan bukannya oleh kerajaan negeri PR,” katanya dalam sidang media.

Jahara semalam mendesak Guan Eng memohon maaf dan membuat semakan semula berhubung fakta projek pembinaan 168 unit banglo yang dimajukan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dengan harga jualan mencecah RM3 juta seunit.

Beliau turut mempersoal kenyataan Guan Eng yang mendakwa tidak mengetahui mengenai projek D’Residence.

Menyelar dakwaan tersebut, Guan Eng menyatakan tidak ada keperluan untuk dirinya termasuk kerajaan negeri membuat sebarang permohonan maaf kerana projek itu diluluskan BN.

“Mengapa saya pula yang perlu memohon maaf dalam isu ini, sedangkan kesalahan itu dibuat oleh mereka (BN),” ujarnya.

Guan Eng menegaskan berdasarkan semakan PDC, projek Fasa 1 dan Fasa 2 terbukti diluluskan sebelum 2008.

“113 unit Fasa 1 dengan harga tertinggi RM3.5 juta dan Fasa 2 RM3.1 juta.  Kelulusan Pelan Merancang projek ini adalah pada 5 Oktober 2006, manakala Pelan Bangunan diluluskan pada 9 Ogos 2007. Sekali lagi saya tegaskan, ini faktanya.

“Kami (kerajaan negeri) tidak akan sesekali meluluskan projek yang tidak berasaskan perumahan mampu milik di Pulau Pinang.

“Takkan awak punya dosa, saya kena tanggung. Takkan BN punya dosa, PR kena tanggung? kata Guan Eng . – Roketkini.com