Berita

Paul Low patut malu gagal ambil tindakan pegawai terlibat kes Beng Hock

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low menjelaskan pendiriannya berhubung tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terlibat dengan kematian mendiang Teoh Beng Hock yang sehingga kini belum dikenakan tindakan.

Malah, salah seorang pegawai, iaitu Mohd Anuar Ismail dinaikkan pangkat daripada pegawai gred 44 kepada gred 48.

“Hakikat bahawa siasatan polis dan SPRM gagal mendapati unsur jenayah hanya mengesahkan syak wasangka bahawa kedua-dua badan itu tidak boleh dipercayai menyiasat orang mereka sendiri.

“Low patut berasa malu kerana di sebalik laporan daripada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), jabatannya gagal mengambil sebarang tindakan terhadap pegawai tersebut.

“Kalau ini bukan cubaan menutup kesalahan, apa lagi?” kata Nie Ching dalam satu kenyataan.

Low semalam ketika menjawab isu kenaikan pangkat itu dengan berkata ia mengikut syarat dan prosedur Jabatan Perkhidmatan Awam.

Dalam jawapan Low di Parlimenn sebelum ini beliau berkata, pegawai yang terlibat akan dikenakan tindakan jika didapati bersalah.

Nie Ching turut memetik perenggan 362 laporan RCI kematian Teoh Beng Hock yang menyebut ‘wujudnya pembisuan seperti yang ditunjukkan pembohongan oleh pegawai-pegawai SPRM untuk menutup  kegiatan jahat yang berlaku di tingkat 15 dan 16  (pejabat SPRM Selangor di Plaza Masalam)’.

Malah, Mahkamah Rayuan pada 5 September lalu sebulat suara memutuskan kematian Teoh Beng Hock pada tahun 2009 bukannya kerana bunuh diri, tetapi akibat perbuatan pihak tidak bernama termasuk pegawai SPRM.

Panel tiga hakim dianggotai Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, Datuk Haji Hamid Sultan Abu Backer dan Datuk Mah Weng Kwai itu bersetuju bahawa majistret Mahkamah Koroner serta Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila memberikan penghakiman terbuka terhadap siasatan kematian Teoh Beng Hock.

“Jadi apakah pendirian Low? Adakah beliau masih berkeras siasatan dalaman SPRM mencukupi dan tidak berat sebelah?

“Kerana jika Low masih berpandangan tiada pegawai yang terlibat melakukan kesalahan, adakah ia bermakna beliau menganggap tiga hakim yang membuat keputusan bertentangan telah silap?” kata Nie Ching. – Roketkini.com